Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PAS Gua Musang beri jaminan tidak boikot calon Bersatu di Nenggiri | Scoop

PAS Gua Musang beri jaminan tidak boikot calon Bersatu di Nenggiri

Biarpun agak kecewa calon mereka tidak dipilih pada PRK 17 Ogos ini, namun PAS tetap akan menggerakkan jentera di kawasan pengundi Melayu seperti di Sungai Asap dan Limau Kasturi

5:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun agak kecewa calon dari parti itu tidak dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, namun PAS Gua Musang tidak akan memboikot calon Bersatu

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad ketika dihubungi Scoop berkata, walaupun calon dari Bersatu itu masih belum diumumkan tetapi PAS di kawasan terbabit terpaksa akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

PAS juga katanya, akan menggerakkan jentera di kawasan pengundi Melayu seperti di Sungai Asap dan Limau Kasturi.

“Kecewa itu adalah sedikit….sebab nama calon kita dah kemukakan tapi akhirnya perlu akur dengan keputusan pimpinan parti yang perlu memberi laluan kerana ia adalah kerusi yang ditandingi calon Bersatu sebelum ini.

“Tarikh penamaan calon tidak lama lagi jadi gerak kerja jentera PAS sedang disusun selain meneruskan mesyuarat bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Dengan perancangan serta gerak kerja yang sedang dan akan dibuat, tidak timbul soal kita akan boikot Bersatu di Nenggiri, tiada masalah ketika kempen nanti,’’ katanya kepada Scoop.

Mengulas lanjut, Azman yakin penggunaan logo PAS akan memberi kelebihan kepada PN untuk mengekalkan kerusi di Nenggiri.

“Di Kelantan, mengikut tradisi pilihan raya, pengundi lebih memilih parti berbanding melihat calon yang bertanding kerana negeri ini milik PAS sejak 1990,’’ katanya.

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, mereka perlu akur dengan keputusan pimpinan parti yang perlu memberi laluan kerana kerusi tersebut ditandingi calon Bersatu sebelum ini. – Gambar Scoop, 23 Julai, 2024

PAS Gua Musang sebelum ini menghantar tiga nama calon kepada pimpinan negeri untuk dipertimbangkan apabila kecewa kerusi wakil rakyat dari Bersatu dikosongkan disebabkan bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menyokong Perdana Menteri.

Desakan supaya calon PAS diberikan tempat turut dibuat Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh yang yakin jika calon dari parti itu dipilih dan memenangi kerusi berkenaan, wakil rakyat terbabit tidak akan berpaling tadah seperti Azizi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 11 Julai lalu mengesahkan Bersatu akan bertanding di Nenggiri memandangkan kerusi tersebut milik parti yang menang sebelum ini.

“Tidak timbul isu PAS dan Bersatu berebut kerusi kerana secara prinsipnya kerusi berkenaan adalah milik Bersatu,’’ katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang. – 23 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related