KUALA LUMPUR – Alhamdulillah, syukur akhirnya kematian abang saya yang penuh tragis terbela.
Demikian luah ahli keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain selepas Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh pegawai kadet laut itu tujuh tahun lalu.
Adik kepada Zulfarhan, Zulhelmie Idros, 26, berkata, air matanya mengalir kegembiraan sebaik saja keputusan dibacakan oleh hakim Mahkamah Rayuan, hari ini.
“Pada awalnya memang berdebar, tapi Alhamdulillah doa orang teraniaya dimakbulkan Allah. Memang keputusan ini yang kami nanti-nantikan.
“Saya lega dan pada masa sama gembira sebab kematian Along (Zulfarhan) terbela selepas tujuh tahun kami menunggu keputusan ini dan keenam-enam pesalah dijatuhkan hukuman hari ini,” katanya kepada Scoop.
Lebih sebak, Zulhelmie berkata, ibunya, Hawa Osman mengesat air matanya ketika fakta kes kematian abangnya dibacakan di dalam mahkamah dengan menggunakan sapu tangan milik arwah.
Menurutnya, sapu tangan itu sering dibawa ke mana-mana oleh ibunya, Hawa Osman kerana ia adalah peninggalan terakhir abangnya.
“Sapu tangan itu dipulangkan kepada kami ketika pegawai UPNM datang ke rumah tujuh tahun lalu.
“Ia satu-satunya pengubat rindu mak kepada arwah Along. Mak tak pernah basuh pun. Selain sapu tangan, gambar Along juga sentiasa ada dalam beg tangan mak,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Terdahulu, bapa kepada Zulfarhan, Zulkarnain Idros dan isteri turut melakukan sujud syukur di pekarangan mahkamah selepas keputusan diumumkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Mengulas lanjut, selain ibu bapa dan dua adiknya, Zulhilmie berkata, sepupu dan ibu saudaranya yang amat rapat dengan Zulfarhan turut hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, hari ini.
“Mak saudara saya itu yang jaga arwah Along masa kecil. Pemergian arwah bukan saja beri kesan kepada kami tapi juga keluarga terdekat.
“Hanya doa yang mampu dikirimkan. Kalau betul-betul rindu kami akan pergi ke kubur arwah,” katanya. – 23 Julai, 2024