Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Protes Bangladesh: Proses evakuasi pelajar tempuh perjalanan 3 ke 4 jam yang mencabar | Scoop

Protes Bangladesh: Proses evakuasi pelajar tempuh perjalanan 3 ke 4 jam yang mencabar

Pelajar Malaysia di BAU dan MMC telah dipindahkan ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bermula 3 petang tadi

10:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perjalanan sejauh lebih 100 kilometer dari Mymensingh Medical College (MMC) dan Bangladesh Agricultural University (BAU) di Mymengsingh ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di pusat bandar Dhaka mengambil masa tiga ke empat jam dengan melalui kawasan yang bergolak ekoran protes pelajar terhadap sistem kuota dalam sektor pekerjaan.

Namun itulah yang dilalui pelajar Malaysia dari dua pusat pengajian tinggi itu selepas kerajaan melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang menyebabkan perkhidmatan internet, rangkaian data mudah alih serta pengangkutan awam terganggu.

Perkara tersebut diceritakan Nur Syaqila Abdul Malek kepada Scoop yang merupakan salah seorang daripada 15 pelajar yang sempat pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu.

Nur Syaqila yang menuntut di BAU berkata, pelajar Malaysia di BAU dan MMC telah dipindahkan ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bermula 3 petang tadi.

Menurutnya, pihak kedutaan telah menghantar wakil untuk menguruskan proses evakuasi berkenaan dan ia dimaklumkan oleh rakannya yang dihubungi bagi mengetahui perkembangan semasa di sana.

“Mereka beritahu saya, pertama sekali pihak kedutaan mengambil tiga pelajar perempuan dari Mymensingh Medical College yang terperangkap di asrama di bawah penjagaan polis.

“Selepas itu, mereka membawa pelajar lain yang tinggal di rumah sewa masing-masing dan seterusnya pelajar dari Bangladesh Agricultural University. Perjalanan dari Mymensingh ke Dhaka mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam.

“Polis hanya membenarkan pelajar keluar jika diiringi wakil kedutaan,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata, setakat ini terdapat 210 rakyat Malaysia yang akan diterbangkan pulang ke tanah air bermula esok.

Kedutaan Malaysia di Dhaka akan dijadikan sebagai tempat persinggahan sementara (staging point) sebelum evakuasi diteruskan.

“AirAsia telah menyediakan dua penerbangan untuk proses evakuasi ini, dengan setiap penerbangan mampu membawa maksimum 182 penumpang.

“Penerbangan pertama (chartered) dijadualkan tiba di Dhaka pada jam 2 pagi waktu Bangladesh (4 pagi waktu tempatan) esok dan akan berlepas balik ke Kuala Lumpur pada jam 10 pagi hari yang sama.

“Penerbangan kedua dijadualkan tiba di Dhaka malam (waktu akan ditentukan kemudian) dan akan berlepas pulang lewat malam,” katanya.

Ketibaan di Malaysia akan melalui Kompleks Bunga Raya dan diuruskan oleh MKN serta Kementerian Luar. – 22 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related