KUALA LUMPUR – Bersatu tidak mempunyai ‘aura’ tersendiri sehingga terpaksa menumpang kekuatan sekutunya iaitu PAS bagi menarik undi rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Menurut Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, tindakan Bersatu itu umpama bermain silap mata dengan pengundi di kawan berkenaan, sama seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Dengan menggunakan logo PAS, maka Bersatu boleh bermain silap mata dengan pengundinya. Perkara sama berlaku PRU15 apabila Bersatu memenangi beberapa kerusi di Kelantan dengan sokongan PAS.
“Sebab itu dalam PRK Nenggiri Bersatu terpaksa lagi menggunakan logo PAS dengan alasan Bersatu adalah komponen PN,” katanya kepada Scoop.
Terdahulu Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin yakin pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada parti itu dan akan memastikan pisang tidak berbuah dua kali di DUN Nenggiri selepas kerusi terpaksa dikosongkan oleh bekas wakil rakyat Bersatu.
Beliau berkata, Bersatu juga akan mengunakan logo PAS di Nenggiri dengan keputusan itu dibuat bagi mengekalkan kaedah seperti pilihan raya lalu.
Tambah Mustapha, pengundi PAS wajar menolak calon Bersatu dan cukup-cukuplah menjadi ‘kuli batak’ kepada parti tersebut.
“Pengalaman bekas wakil rakyatnya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas membuktikan bahawa gagasan PN tidak mampu mentadbir Kelantan tanpa bantuan Kerajaan Pusat,” katanya.
Bersatu setakat ini belum memuktamadkan soal calon yang bakal bertanding di PRK berkenaan dengan alasan masih mempunyai masa yang panjang sebelum penamaan calon pada 3 Ogos nanti.
Umno dan Barisan Nasional (BN) mempertaruh Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calonnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Azizi yang bertanding atas tiket PAS memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi. – 23 Julai, 2024