Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Adun Rembia tandatangani perjanjian, kalau lompat parti kena bayar RM100 juta | Scoop

Adun Rembia tandatangani perjanjian, kalau lompat parti kena bayar RM100 juta

Asyraf Wajdi turut menunjukkan salinan asli yang telah dimatikan setemnya di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mana ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan disaksikan oleh saksi-saksi

1:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bukan RM10 juta tetapi RM100 juta.

Demikian tegas Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki merujuk kepada ‘denda’ yang perlu dibayar oleh mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang berhasrat menukar parti atau bertukar haluan daripada menyokong gabungan parti itu termasuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Dalam hal tersebut, beliau menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Muhammad Jailani Khamis yang baru-baru ini disahkan telah menyertai PAS.

“Ramai yang terkeliru dengan kenyataan Adun Rembia yang kononnya beliau tidak ada keterikatan dengan parti apabila membuat pengisytiharan menyertai PAS dan keluar daripada Umno dan BN.

“Hakikatnya, untuk pengetahuan, setiap calon-calon yang mewakili BN sama ada di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, semuanya menandatangani satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Perwakilan Calon BN. Untuk ini (Jailani), PRN Melaka yang ke-15 2021,” katanya dalam kenyataan di TikTok.

Asyraf Wajdi turut menunjukkan salinan asli yang telah dimatikan setemnya di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mana ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan disaksikan oleh saksi-saksi.

“Ini tandatangan beliau (Jailani) yang paling jelas sekali. Selain daripada perjanjian ini, adanya akuan bersumpah (SD) setiap calon, tulisan beliau (Jailani) sendiri dan juga tandatangan beliau,” katanya.

Menurutnya, dalam SD itu termasuklah di mana dinyatakan secara jelas bahawa: “Jika saya berhasrat untuk menukar parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN Malaysia, Umno, MIC dan atau MCA termasuk menjadi Adun Bebas, saya berjanji untuk, pertama (Fasal 6.1), meletakkan jawatan sebagai ahli BN Malaysia, Umno dan Adun supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dan kedua (Fasal 6.2) membayar balik kepada BN jumlah sebanyak RM100 juta.

“Ini ada kesannya kerana kita sudah ada kes, Zuraidah (bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin) yang melompat daripada PKR yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar balik RM10 juta.

“Tetapi dalam kontrak BN, bukan RM10 juta tetapi RM100 juta. Satu lagi perkara yang ingin saya tekankan Perlembagaan Umno menjelaskan dengan sejelas-jelasnya, ini yang membezakan Umno berbanding dengan Bersatu mahupun PAS, kerana Perlembagaan ini sudahpun dipinda sebelum PRU yang lalu,” katanya.

Tegas beliau, Fasal 20.8 menyatakan dengan jelas mana-mana ahli menjadi ahli berdaftar parti politik lain, maka keahliannya gugur setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Katanya, yang kedua, Fasal 20.11, seseorang ahli Umno akan tergugur keahliannya secara automatik sekiranya, pertama, ahli Umno itu telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat atau Dun, dan kemudiannya telah menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh Umno atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dun Bebas.

“Jadi tepuk dada tanya selera. Sudah terhantuk baru nak terngadah, kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Baru-baru ini, Speaker Dun Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, tindakan PAS yang hanya mengisytiharkan Adun Rembia itu menyertai parti tersebut selepas setahun adalah satu tindakan pelik dan mencurigakan terutama rakyat dan pengundi kawasan tersebut.

Malah katanya, sepanjang tempoh setahun ini, tidak ada pemimpin PAS yang menghubungi atau bertemu beliau bagi memaklumkan penyertaan Jailani ke dalam parti itu.

Terdahulu Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Parlimen berkata, tindakan Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Jailani menyertai PAS. – 20 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related