Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Sultan Ibrahim titah harapan kepada kerajaan berusaha ringankan beban hidup rakyat | Scoop

Sultan Ibrahim titah harapan kepada kerajaan berusaha ringankan beban hidup rakyat

Tetamu diraja dari luar, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa turut berangkat ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong

11:36 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Demikian laungan bergema di Balairung Seri, Istana Negara, sejurus selepas Sultan Ibrahim berkenan membacakan warkah ikrar menjalankan pemerintahan ketika istiadat pertabalan Seri Paduka selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17 pagi ini.

“Saya, Sultan Ibrahim, bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana limpah izin-Nya, saya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan ini saya akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara serta memelihara dengan sempurnanya setiap masa agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara,” titah Seri Paduka.

Terdahulu Seri Paduka dalam titah dirajanya menzahirkan harapan kepada kerajaan supaya terus berusaha meringankan beban hidup rakyat dan membangunkan negara dengan lebih maju serta makmur.

Malah Seri Paduka bertitah akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan ikhlas, serta memerintah dengan adil dan saksama selain penuh timbang rasa kepada semua rakyat.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada raja-raja Melayu yang telah memberikan kepercayaan dan penghormatan untuk memikul tugas sebagai ketua negara.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara.

Istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Istiadat pertabalan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu menyempurnakan peruntukan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, selain bukti kesinambungan pemerintahan raja Melayu dengan sistem pelantikan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir yang hanya diamalkan di Malaysia.

Pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh raja-raja Melayu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt 2023 dan Seri Paduka Baginda seterusnya mengangkat sumpah jawatan pada 31 Januari di Istana Negara.

Pelantikan Seri Paduka adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari.

Istiadat bersejarah itu dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

Tetamu diraja dari luar, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain,Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa turut berangkat ke istiadat itu.

Turut hadir, Menteri Kanan yang juga bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.

Dalam pada itu Anwar ketika menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum, di samping menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga Malaysia dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan sebagai penaung agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera. – 20 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related