Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRK Nenggiri: Ku Li dihormati tapi pengaruhnya belum cukup kuat bantu kemenangan BN | Scoop

PRK Nenggiri: Ku Li dihormati tapi pengaruhnya belum cukup kuat bantu kemenangan BN

Kira-kira 61.7% pengundi DUN Nenggiri terdiri daripada golongan muda yang terdedah kepada media sosial sedangkan Tengku Razaleigh atau Ku Li pula merupakan pemimpin veteran

8:03 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengaruh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang masih belum cukup kuat untuk membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini kerana kira-kira 61.7% pengundi di DUN Nenggiri terdiri daripada golongan muda yang terdedah kepada media sosial dan Tengku Razaleigh atau Ku Li pula merupakan pemimpin veteran.

Menurutnya, kebanyakan pengundi muda mudah terpengaruh dengan isu politik dimainkan di media sosial setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

“Walaupun Ku Li merupakan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, zaman (kegemilangan) beliau sudah semakin berakhir. Pengaruhnya tidak begitu besar sebagaimana ada pada dirinya sebelum ini.

“Namun pengaruhnya masih lagi ada, tapi ia tidak boleh memunculkan satu gelombang besar untuk mengembalikan sokongan kepada Umno dan BN di DUN Nenggiri.

“Pada saya isu-isu lain seperti (isu) orang Melayu, harga diesel, kos sara hidup dan kenaikan harga barang menenggelam wajah atau pengaruh Ku Li di kawasan tersebut,” katanya.

Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kira-kira 61.7% pengundi di DUN Nenggiri terdiri daripada golongan muda yang terdedah kepada media sosial dan Tengku Razaleigh atau Ku Li pula merupakan pemimpin veteran. – Gambar Bernama, 20 Julai, 2024

Walaupun mengakui BN berdepan laluan sukar di DUN Nenggiri, Mohammad Tawfik berkata, tindakan mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan dan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon parti itu lebih awal adalah strategi untuk menawan kembali kerusi tersebut.

“Saya berpandangan BN masih lagi sukar untuk memenangi semula kerusi DUN Nenggiri. Walaupun ia kubu kuat BN, tapi parti itu tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Raya ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Banyak lagi faktor perlu dilihat dan usaha keras harus dilakukan khususnya melibatkan pengundi Orang Asli. Mereka merupakan deposit kepada Umno dan BN di Nenggiri. (Jadi) Perlu memenangi hati mereka supaya sokongan terus kekal dan bertambah,” katanya.

Keputusan BN mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon parti itu lebih awal adalah strategi untuk menawan kembali kerusi tersebut. – Gambar Bernama, 20 Julai, 2024

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, walaupun pengaruh Ku Li tidak sekuat dulu, beliau masih lagi dihormati penduduk Gua Musang.

Justeru, katanya, tindakan BN menamakannya sebagai Pengarah PRK Nenggiri adalah langkah tepat kerana beliau boleh menjadi mentor dan juga penggerak strategi kempen parti di kerusi berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, Ku Li perlu bekerjasama dengan pemimpin muda dalam parti khususnya Mohd Azmawi kerana calon BN berkenaan lebih memahami corak politik setempat hari ini.

“Saya rasa Ku Li bukanlah faktor mutlak kepada kemenangan BN kerana ketika beliau pernah bertanding di Parlimen Gua Musang tetapi kalah. Namun pengaruh beliau masih ada walaupun tidak seperti 10, 15 tahun dulu.

“Jadi beliau boleh menggunakan pengaruhnya di DUN Nenggiri sebagai aristokrat (bangsawan) dan juga hubungannya dengan kerabat diraja Kelantan. Beliau sebenarnya masih dihormati penduduk setempat.

“Justeru, kombinasi di antara Ku Li dengan pemimpin muda, peringkat akar umbi dan pemimpin lain dalam BN adalah satu kombinasi terbaik dan perlu dimanfaatkan pada PRK ini,” katanya.

Bagi Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, walaupun pengaruh Ku Li tidak sekuat dulu, beliau masih lagi dihormati penduduk Gua Musang. – Gambar Bernama, 20 Julai, 2024

Terdahulu, Umno Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi sebagai calon pada PRK Nenggiri bulan depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, kelmarin.

Katanya, pemilihan Mohd Azmawi, 38, diputuskan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepimpinan Umno Gua Musang dan akar umbi parti. – XXXX

Topics

 

Hangat

[WATCH] Khalil and Vilas’ muhibbah Raya

After 21 years of marriage, Khalil Khalid and Nur Hannah M. Vilasmalar have cultivated acceptance and understanding of their different racial and cultural backgrounds.

Vikneswaran retains KLHA president’s post after Megat disqualified

The decision follows the KLHA council’s recent nullification of all candidates from the Kuala Lumpur Hockey Sports Education Association

Malaysia’s global reputation bolstered a year into Anwar’s PM stint  

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s achievements during his first year in office was no mean feat and it would be remiss to claim that his administration has taken a backseat in efforts to improve the nation’s global standing. 

Related