KAJANG – Peniaga-peniaga di Laman Niaga Bandar Seri Putra (BSP) kesal dengan kompaun yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana mereka tidak diberikan masa dan notis yang cukup untuk membayar sewa tapak.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja Laman Niaga, Mohamad Fudhail Abdul Razak berkata, masa yang diberikan terlalu singkat untuk peniaga membuat persediaan malah ada antara mereka dikenakan kompaun hari ini kerana tidak mampu untuk membayar permit.
“Disebabkan maklumat yang diberikan kepada kami tidak disampaikan dengan baik, kami tak sempat untuk bayar dalam masa yang diberikan,” katanya ketika ditemui Scoop di tapak penjaja di situ hari ini.
Mohamad Fudhail berkata, notis kutipan bayaran tapak diberikan oleh MPKj pada Isnin dan mereka diarahkan membuat pembayaran pada keesokan hari.
“Kami tidak ada masalah nak bayar jika pihak MPKj menunaikan janji untuk menyediakan fasiliti yang baik. Semua ini menyebabkan pendapatan kami terjejas dan menyukarkan kami mendapatkan lesen dan permit.
“Mereka kata semasa kami masuk dulu, akan lakukan saringan dahulu di tempat ini, dan mereka kata akan menaik taraf tempat ini.
“Walaupun ada antara kami yang mampu membayar kompaun, kami masih kesal kerana fasiliti yang dijanjikan tidak diberikan kepada kami,” katanya.
Menurutnya, sambutan di laman niaga berkenaan semakin merosot ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan kawasan itu berlumpur dan tidak sesuai dilalui.
Dalam pada itu, seorang peniaga keropok lekor, Nurul Safikah Mad Yasin berkata, bayaran yang dikenakan di Laman Niaga BSP jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
“Kami tidak puas hati, bayaran untuk satu tapak khemah adalah RM150 untuk satu sesi, ada tiga sesi kesemuanya iaitu sesi pagi, petang dan malam. Ia lebih mahal berbanding tempat-tempat lain yang hanya sekitar RM80 ke RM100 untuk keseluruhan.
“Saya jual keropok lekor, nak buat persediaan untuk potong dan goreng mana cukup untuk saya berniaga satu sesi sahaja. Terpaksa juga saya ambil sekurang-kurangnya dua sesi, pagi dan petang,” katanya.
Nurul Safikah berkata, jualannya menurun secara mendadak semenjak berpindah di Laman Niaga BSP berbanding di kawasan lain yang pernah dia berniaga.
“Di luar sana, untuk jualan keropok, dulu saya dapat jual 400 batang sehari. Di sini paling banyak yang saya dapat hanya 200 batang. Kebanyakan hari tidak habis terjual pun.
“Mereka (MPKj) janji, tidak akan benarkan orang luar berniaga namun kami lihat masih ramai yang berniaga secara haram di tepi-tepi jalan. Mereka tidak dikenakan sebarang tindakan tetapi kami di sini yang kena,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan peniaga di laman niaga BSP setuju untuk dikenakan dengan bayaran sedemikian jika fasiliti yang dijanjikan setimpal dengan bayaran tersebut.
“Kami ikut sahaja arahan, MPKj suruh kami masuk dulu dengan menjanjikan mereka akan turap tapak perniagaan. Sampai sekarang masih belum dinaik taraf.
“Kami tidak kisah kena bayar mahal, cuma kami mahukan layanan yang setimpal. Sewa tapak itu pun termasuk untuk kutipan sampah, tapi sampah kami yang kutip dan bawa balik sendiri, tidak ada tong sampah pun disediakan,” katanya.
Jelasnya, peniaga terpaksa bersama-sama mengutip bayaran untuk membaiki jalan masuk ke tapak niaga kerana tidak boleh dilalui sekiranya hujan.
“Tar yang ada ini pun, kami (peniaga) kumpul beramai-ramai, RM10 seorang untuk tambak jalan masuk, sebab kalau hujan pelanggan tidak boleh lalu.
“Kalau kami tidak tar jalan ini, bagaimana pelanggan nak masuk, jadi semua kami yang tanggung.
“Mereka kata sudah melantik kontraktor, tetapi nak sampai setahun kami tunggu, masih tidak ada apa-apa,” katanya. – 19 Julai, 2024