Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
BN pertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan di DUN Nenggiri | Scoop

BN pertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan di DUN Nenggiri

Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani mengakui agak terkejut kerana tidak menjangkakan PRK diadakan secepat ini, dan akan bekerja keras kerana majoriti di Nenggiri hanya 810 undi

5:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Nenggiri.

Pemilihannya menepati ramalan sebelum ini, apabila namanya disebut-sebut bakal membawa cabaran BN untuk menawan semula kerusi berkenaan.

Nama beliau diumumkan oleh pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, Azmawi mengakui agak terkejut kerana tidak menjangkakan PRK akan diadakan secepat ini.

“Saya juga baru dimaklumkan secara rasmi (mewakili BN),’’ katanya.

Mengulas lanjut, Azmawi memberitahu, beliau bagaimanapun perlu bekerja keras meskipun majoriti di Nenggiri hanya 810 undi.

“Saya mesti berpihak di bumi yang nyata. Walaupun majoriti hanya 810 undi, saya kena bekerja kuat, bukan mudah tapi saya akan berusaha,’’ katanya.

Terdahulu Umno Gua Musang menghantar tiga nama untuk dipilih sebagai calon pada PRK Nenggiri. Selain Azmawi, turut disenaraikan ialah Ketua Penerangan Umno Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Azizi yang bertanding atas tiket PAS memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi.

Ia mempunyai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – 18 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related