KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkemungkinan hilang kerusi di kawasan berkenaan, susulan tindakan beliau melompat parti secara senyap-senyap.
Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu bermakna Muhammad Jailani boleh berdepan tuduhan menipu Speaker dan melanggar akujanji parti.
“Ini boleh mengakibatkan kerusi DUN beliau dikosongkan dan diheret ke mahkamah,” katanya menerusi kenyataan.
Mustapha berkata, tindakan Muhammad Jailani yang melompat parti dari Umno kepada PAS secara bersembunyi juga menunjukkan beliau berniat tidak jujur.
“Tindakannya menyembunyikan lompatannya semata-mata untuk mengelak dari tindakan Akta Lompat Parti.
“Bagaimanapun dia berdepan dengan tindakan saman RM100 juta oleh Umno kerana sudah menandatangani akujanji sebelum PRU lalu,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan mengumumkan bahawa Muhammad Jailani menyertai PAS sejak Jun 2023.
Takiyuddin berkata, pengumuman itu dibuat selepas lebih setahun kerana ia adalah strategi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan itu menyaksikan DUN Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, berbanding dua selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.
Muhammad Jailani memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan menjadi antara seorang daripada empat Adun Pakatan Harapan (PH) yang menyokong Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.
Kemudian, beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum menyertai Umno bagi membolehkannya bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.
Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor, sekali gus menyebabkan keahliannya digantung enam tahun. – 18 Julai, 2024