Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ini? Keganasan terhadap wanita mesti dihenti: Fadhlina | Scoop

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ini? Keganasan terhadap wanita mesti dihenti: Fadhlina

Fadhlina Sidek turut meminta wanita yang menjadi mangsa perlakuan kasar suami atau pasangan, bertindak untuk mendapatkan bantuan segera

10:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wanita digesa mengenal pasti tanda awal konflik dalam rumah tangga atau perhubungan, bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa keganasan suami atau pasangan.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, rumah tangga sepatutnya menjadi ruang sakinah (ketenteraman) dan memupuk mawaddah (kasih sayang) serta wa rahmah (saling memahami), namun kini semakin banyak tidak selamat.

Meluahkan perasaan kecewa dan sedih dengan beberapa kes keganasan rumah tangga dan dalam kalangan pasangan, beliau turut meminta wanita yang menjadi mangsa perlakuan kasar suami atau pasangan, bertindak untuk mendapatkan bantuan segera.

“Saya ingin berpesan begini, di saat Akta Keganasan Rumahtangga di negara kita sudah dipinda untuk memberikan kesan efektif kepada perlindungan dan dakwaan kes keganasan, masih ada wanita kita bertarung nyawa di dalam ruang rumah tangga sendiri.

“Pembunuhan oleh suami atau pasangan adalah kemuncak keganasan rumah tangan selepas siri-siri keganasan rumah tangga lain!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, banyak kes dapat dilihat yang menyaksikan kehilangan, kematian dan pembunuhan ke atas wanita, termasuk membabitkan kes bekas pelajar sebuah universiti yang juga bakal pendidik ditemui mati pada 15 Julai lalu, selepas dipercayai dibunuh lelaki dikenalinya.

“Semalaman saya berfikir. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita ini?

“Minggu ini, seorang bakal pendidik ditemui mati, dipercayai dibunuh seorang lelaki dikenalinya.

“Sebelum itu, entah berapa banyak berita dan kes wanita mati dibunuh pasangan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, keganasan terhadap wanita sudah sampai ke kemuncak apabila ramai kaum itu mati di tangan suami atau pasangan masing-masing.

Beliau berkata, ada istilah dikenali sebagai ‘Femicide’ merujuk kepada situasi wanita yang mati dibunuh kerana gendernya, malah ia dikategorikan sebagai ‘intimate partner violence’ (kekerasan oleh pasangan).

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan, implikasi atas tindakan keganasan dialami itu bukan sedikit, memandangkan ia melibatkan isu trauma kepada seluruh ahli keluarga, khususnya anak.

“Intervensi paling segera adalah kaunseling trauma kepada keluarga mesti diutamakan,” katanya.

Jelasnya, tragedi yang berlaku sangat mengesankan seluruh aktivis wanita yang setiap hari bangkit untuk memastikan wanita kita terus diberikan kesedaran ilmu, advokasi undang-undang dan bimbingan berkaitan keganasan terhadap wanita.

Masyarakat kita, katanya, mesti lebih tegas dan mengambil tanggungjawab bersama pihak autoriti dalam memastikan keselamatan serta perlindungan terhadap wanita.

Justeru, Fadhlina berkata, pihaknya akan terus melaksanakan program serta advokasi untuk masyarakat berkaitan kesedaran terhadap keganasan dan perlindungan kepada wanita.

“Keganasan terhadap wanita mesti dihentikan!” katanya. – 18 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related