KUALA LUMPUR – Seramai 26 saksi sudah dirakam percakapan termasuk rakan sepejabat suspek dalam kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut dipanggil memberikan keterangan ialah rakan serta saksi awam.
Hussein juga memberitahu, pasukan penyelam juga akan digerakkan ke satu tempat di Perak, iaitu berjarak kira-kira 20 kilometer dari kawasan penemuan mayat mangsa.
“Kita percaya dia melakukan perbuatan itu seorang diri. Suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari dan kemungkinan akan menyambungnya sehingga maksimum 14 hari.
“Justeru secara automatik dia digantung kerja,’’ katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat Nur Farah di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, hari ini.
Isnin lalu, polis menemui mayat Nur Farah Kartini, 25, selepas dilaporkan hilang pada 11 Julai lalu di Kampung Sri Keledang dan berikutan itu seorang lelaki yang juga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek, yang berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Sementara itu ditanya mengenai motif pembunuhan berkenaan, Hussein berkata, suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain namun sejauh mana hubungan mereka masih dalam siasatan, begitu juga dengan motif kes itu.
Dalam pada itu, menerusi pencarian yang dijalankan oleh pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, telefon dipercayai milik mangsa telah ditemui.
Peranti itu ditemui pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.21 tengah hari tadi.
Suspek turut dibawa keluar ke kawasan itu bagi membuat pengecaman telefon milik mangsa. – 17 Julai, 2024