KUALA LUMPUR – Semua pihak diberi amaran keras supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui siasatan pihak polis, berkait dengan mana-mana kes sedang disiasat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, amaran itu termasuk membabitkan kes penemuan mayat bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah pada 15 Julai lalu.
Menurutnya, kes wanita berusia 25 tahun itu yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang Hulu Selangor menyaksikan pelbagai spekulasi tidak benar dikeluarkan, sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Pihak polis menasihatkan kepada semua pengamal media dan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan mana-mana kes yang masih dalam siasatan.
“Mereka juga dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan kes,” katanya menerusi kenyataan.
Hussein menegaskan, mana-mana orang boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perkongsian atau penyebaran maklumat palsu, jelik serta mengancam.
“Mereka (pelaku) boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya. – 17 Julai, 2024