Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tuduh Rayer anti Islam, Ahli Parlimen Pendang digantung Dewan Rakyat tiga hari | Scoop

Tuduh Rayer anti Islam, Ahli Parlimen Pendang digantung Dewan Rakyat tiga hari

Keputusan berkenaan dibuat Timbalan Speaker selepas wakil rakyat pembangkang itu kekal dengan pendiriannya enggan menarik balik kenyataan terbabit

2:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarah keluar dari Dewan Rakyat dan tidak dibenarkan hadir ke sidang itu tiga hari, berhubung tuduhan ‘anti Islam’ dilontar beliau kepada wakil rakyat Jelutong, RSN Rayer.

Keputusan berkenaan dibuat Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor selepas wakil rakyat pembangkang itu kekal dengan pendiriannya enggan menarik balik kenyataan terbabit.

“YB Pendang, bila dibangkitkan YB Jelutong dan YB Bayan Baru, saya rasa ada logiknya kita kena harmonikan dewan ini, jangan menuduh satu sama lain dan jadi tontonan di luar.

“Adakah ini kita nak gambarkan kepada masyarakat? Jadi YB tarik balik perkataan (anti Islam) itu, tolong,” katanya.

“Dia selalu kaitkan dengan Islam Jelutong ni, dia anti Islam,” menurut Awang sekali lagi sehingga mencetuskan kekecohan di dewan.

“Saya tidak benarkan YB Pendang berucap, saya hanya bagi arahan tarik balik bahagian itu sahaja, tolong…” kata Ramli.

“Saya minta maaf, saya tak akan tarik balik sebab Jelutong memang anti Islam, jadi saya tak akan tarik baliklah…Saya remain (kekal) dengan prinsip saya, saya tak tarik balik,” tegas Awang.

“Dengan sedemikian 3 hari…silakan,” ujar Ramli.

Arahan untuk Awang menarik balik kenyataan itu dikeluarkan Ramli selepas Rayer memohonnya kerana tidak berpuas hati apabila digelar anti Islam.

“Timbalan Speaker, saya minta dia (Pendang) tarik balik kenyataan anti islam, that is not proper (ini tidak betul), saya minta kenyataan itu ditarik balik.

“Apa yang saya nyatakan beliau sudah nyatakan dalam dewan, (iaitu) menjahanamkan enam orang (bekas wakil rakyat Bersatu), tapi apa yang beliau nyatakan anti Islam itu tak betul,” katanya sebelum permintaan berkenaan disokong Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

“Timbalan Speaker, saya rasa ini tuduhan yang amat berat dan serius, saya rasa ini tidak baik untuk orang di luar dewan,” kata Tze Tzin

Sebelum itu, Ramli mencadangkan Awang dan Rayer mengemukakan usul berhubung tindakan mereka yang mengeluarkan kenyataan saling menuduh antara satu sama lain.

“Benda ini mudah, YB Jelutong tuduh YB Pendang, YB Pendang tuduh YB Jelutong, adalah lebih sesuai untuk mendapat petua yang adil, buat usul,” katanya namun tetap berdepan tindakan Rayer yang meminta supaya Awang menarik balik kenyataan anti Islam berkenaan.

Terdahulu, ketika sidang berlangsung, Rayer bangun untuk membacakan tiga peraturan sebagai merujuk kesalahan dilakukan Ahli Parlimen pembangkang pada sesi Khamis lalu, iaitu Peraturan 36 (4), 36 (6) dan 36 (12)

Peraturan 36 (4) adalah menjadi kesalahan bagi ahli dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan atau membuat pernyataan seksis.

Manakala Peraturan 36 (6) tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain dan peraturan 36 (12) menyatakan, mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis.

“Pada Khamis lalu, ketika dewan bersidang, ada beberapa YB dari sebelah pembangkang mengeluarkan kenyataan yang menghina Speaker dengan menggunakan istilah ‘posman’, itu isu pertama.

“Isu kedua, saya masih ingat lagi YB Pendang merujuk kepada enam Ahli Parlimen yang mengisyiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Ke-10 dan menggunakan perkataan ‘enam jahanam’ kepada mereka.

“Ketika itu saya menegur beliau kerana beliau adalah wakil parti PAS, beragama Islam, tidak teratur dan tidak baik bagi beliau merujuk kepada enam orang itu dengar gelaran enam jahanam,” katanya.

Kenyataan Rayer itu menyebabkan Awang bangun dan menyifatkan wakil rakyat terbabit sebagai anti Islam.

“Sebab dia sebut nama saya tadi pasal berkenaan dengan enam jahanam, memang diaorang tu jahanam, bila jahanam dia sebut dia kait dengan Islam…dia ni anti islam…” katanya. – 15 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related