Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ini pelik, mereka sudah pindah ‘kiblat’ tapi kerusi tidak dikosongkan: Ku Li | Scoop

Ini pelik, mereka sudah pindah ‘kiblat’ tapi kerusi tidak dikosongkan: Ku Li

Beliau mengulas mengenai keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu

6:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti sudah pindah kiblat, justeru kerusi disandang mereka sepatutnya dikosongkan.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, tindakan itu juga jelas menunjukkan keenam-enam wakil rakyat itu sudah berpindah pendirian dalam perjuangan politik mereka bersama Bersatu.

Justeru, beliau mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen tersebut.

“Ini perkara yang pelik (tidak berlaku kekosongan enam kerusi). Sepatutnya ada satu tafsiran sahaja. Kalau kosong di Kelantan kerana menggunakan peruntukan Perlembagaan sama dipinda oleh Parlimen untuk menyekat orang melompat parti, maka di Parlimen pun sama.

“Tak boleh berbeza antara satu dengan yang lain kerana peruntukan dalam Perlembagaan itu sama dengan tujuan yang sama. Jelas sekali di Kelantan dilakukan kerana kekosongan itu mesti diwujudkan kerana wakil (wakil rakyat) sudah memberi sokongan kepada parti lain.

“Maknanya dia sudah pindah kiblat. Apabila dia pindah kiblat bererti dia sudah pindah parti ataupun dia pindah pendirian. Jadi saya rasa di Parlimen pun tak boleh tafsir cara lain” katanya dalam perkongsian video di TikTok.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu. – Azim Rahman/Scoop, 12 Julai, 2024

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Johari memutuskan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat.

Muhyiddin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat menerusi surat bertarikh 9 Julai lalu dan menganggap alasan diberikan sebagai dangkal dan satu tafsiran songsang, malah mendakwa Speaker mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Mengulas lanjut, Ku Li mendakwa Johari mungkin bimbang berlaku ketidakstabilan di Dewan Rakyat sekiranya beliau mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi tersebut.

Tengku Razaleigh mempersoalkan apakah tindakan Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bebas yang sudah beralih sokongan bersifat politik. – Gambar Bernama, 12 Julai, 2024

“Ataupun dia (Johari) memikirkan ini tidak akan menjamin supaya Kerajaan Madani terus dapat bertindak dengan wajarnya.

“Jadi ini semuanya alasan-alasan politik yang diberikan, bukan dari segi undang-undang atapun tujuan sebenar kita pinda Perlembagaan dahulu.

“Jadi sebaiknya enam Ahli Parlimen sudah berpindah parti ataupun mengalir kesetiaannya kepada parti lain, tak mahu lagi sokong arahan partinya sendiri mesti kosongkan kerusi. Itu tafsiran orang biasa fikirlah. Saya sendiri pun berpendapat sama,” katanya.

Pada masa sama, Ku Li yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang menasihati kerajaan pimpinan Anwar supaya tidak perlu takut sekiranya enam kerusi Parlimen itu dikosongkan.

“Dahulu dia (Anwar) pernah berkata, dia mempunyai hampir dua pertiga menyokong di Parlimen.

“Apa yang takut, tak perlu takut. Saya pun hairan mengapa ini dilakukan. Nampaknya politik melebihi segala-galanya,” katanya. – 12 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related