Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Sikap pemurah 'tidak bertempat', buka ruang kepada kes penipuan | Scoop

Sikap pemurah ‘tidak bertempat’, buka ruang kepada kes penipuan

Rakyat Malaysia perlu membuang stigma 'aku dah menderma, kalau mereka nak menipu itu antara dia dengan Tuhan': Pakar Kriminologi

8:01 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jangan terlalu murah hati memberikan derma kepada mana-mana pihak sehingga membuka ruang untuk menjadi mangsa penipuan meskipun mereka adalah pempengaruh.

Sebaliknya, kata penganalisis jenayah yang juga pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, periksa dan semak dahulu ke mana wang itu disalurkan dan memang betul kutipan derma dilancarkan oleh pihak yang menerima derma tersebut.

“Sebelum menghulurkan sebarang sumbangan, kita terlebih dahulu kena periksa sama ada memang betul ada kutipan derma tersebut.

“Contohnya untuk kutipan tabung masjid atau rumah anak yatim, kita kena selidik dahulu agar duit sumbangan itu memang betul-betul disalurkan kepada tempat yang dituju.

“Jangan kita bagi sahaja, tidak memeriksa asal-usul orang itu (yang menjalankan kempen derma), itu kelemahan orang kita (Malaysia) terlalu murah hati (sampai diambil kesempatan),” katanya ketika dihubungi Scoop.

Beliau mengulas mengenai beberapa kes melibatkan sumbangan derma hingga menjadi pertikaian ramai, dengan netizen yang mempersoalkan kemana derma itu disalurkan.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim mengingatkan orang ramai agar menyemak terlebih dulu ke mana wang disalurkan dan memang betul kutipan derma dilancarkan oleh pihak yang menerima derma tersebut. – Gambar Facebook, 14 Julai, 2024

Pada Khamis, pasangan pempengaruh ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penyelewengan dana derma awam, disyaki sudah melakukan perbuatan itu sejak 2020.

Sumber SPRM memberitahu, anggaran kutipan derma mencecah RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal.

Dalam satu lagi kes, bapa kepada bayi yang maut di pusat asuhan, Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan penipuan dan penyelewengan dana disumbangkan untuk urusan yuran guaman.

Tertuduh, Yuseri Yusoff, 41, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengulas lanjut, Shahul turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuang stigma ‘aku dah menderma, kalau mereka nak menipu itu antara dia dengan Tuhan’, kerana pemikiran seumpama itu hanya menggalakkan sindiket penipuan itu berleluasa sehingga kemungkinan tidak dapat dibendung di kemudian hari.

“Kita tidak boleh berserah macam itu sebab kita diberikan akal fikiran. Jika kita terus berfikiran seperti itu, ia seolah-olah memberi isyarat kita menggalakkan mereka untuk menipu lagi.

“Jadi, untuk mencegah daripada ia terus berlaku sehingga menjadi ‘penyakit’, kita perlu berhati-hati dan melakukan sedikit pemeriksaan sebelum memberikan sumbangan kepada mana-mana pihak yang ingin dibantu,” katanya. – 14 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Four found dead after Pinkfish NYE concert in Sunway Lagoon, say cops

KUALA LUMPUR — Police have confirmed the deaths of two men and two women, all locals, who attended an electronic dance music (EDM) concert in Bandar Sunway, Subang Jaya, on Tuesday. Selangor Police...

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Malaysia Airlines and the return to chocks: Safety, statistics, and perception – Capt. Kamil

Why does MAS face scrutiny while other carriers remain unchallenged?

Related