KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Australia bagi memberikan pampasan kepada waris mangsa nahas pesawat Double Six yang berlaku pada 1976 sehingga mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 diklasfikasikan semula dan diumumkan kepada awam pada 11 April 2023 menyatakan punca kemalangan tersebut disebabkan kesilapan manusia.
“Laporan itu dengan jelas menyatakan bahawa punca kemalangan tersebut adalah disebabkan oleh kesilapan manusia dan bukannya berpunca daripada kesalahan teknikal atau sabotaj daripada mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Australia bagi memberikan pampasan kepada waris mangsa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai adakah kementerian bercadang untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Australia untuk memberikan pampasan kepada waris keluarga mangsa nahas pesawat Double Six yang berlaku pada 1976 sehingga meragut nyawa Fuad.
11 disahkan terkorban dalam tragedi Double Six termasuk barisan pimpinan kanan kerajaan Sabah ketika itu iaitu Fuad; Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Terdahulu, laporan siasatan akhir nahas pesawat itu dikelaskan sebagai dokumen terbuka dan ia boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan bermula 12 April tahun lalu.
Proses untuk menyahklasifikasi laporan telah selesai pada 6 April lalu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan laporan tragedi yang turut digelar ‘Double Six’ itu dinyahklasifikasi pada 5 April.
Anwar berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.
Dalam kejadian itu, pesawat dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan yang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah. – 11 Julai, 2024