Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Menteri, agensi awam berdepan tindakan jika guna jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya: Anwar | Scoop

Menteri, agensi awam berdepan tindakan jika guna jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya: Anwar

Katanya, penggunaan jentera kerajaan untuk tujuan itu, melanggar keputusan Jemaah Menteri yang tidak membenarkannya

12:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri dan pengurusan agensi awam akan dikenakan tindakan disiplin sekiranya terbukti menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan jentera kerajaan untuk tujuan itu, melanggar keputusan Jemaah Menteri yang tidak membenarkannya.

Katanya, Jemaah Menteri memutuskan bahawa sebaik hari penamaan calon, Menteri, penjawat awam atau mana-mana agensi tidak dibenar menggunakan jentera kerajaan dalam kempen.

“Itu keputusan yang saya dah buat (dalam Jemaah Menteri), kalau sebelumnya (sebelum keputusan) itu soal lain.

“Sebaik saja penamaan calon, tidak boleh digunakan dan kalau ada bukti, tentunya kita (kerajaan) akan ambil apa-apa tindakan yang wajar. Saya tidak berdolak-dalik, dua-dua Timbalan Perdana Menteri ada sebelah saya,

“Sekiranya ada bukti di mana, Menteri ataupun agensi kerajaan gunakan jentera kerajaan semasa kempen, itu sudah melanggar keputusan Jemaah Menteri dan tindakan disiplin harus diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab persoalan dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mengenai penggunaan jentera kerajaan pada pilihan raya.

Dalam soalannya, Awang turut mempersoalkan adakah kerajaan melihat normalisasi budaya pilihan raya sebagai sebahagian daripada permulaan reformasi tata kelola Madani, seperti yang berlaku di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ujarnya, seperti berlaku di PRK Sungai Bakap dan PRK Kuala Kubu Baharu (KKB), ada individu dalam parti kerajaan ‘menjanjikan’ pulangan kepada pengundi sedangkan Anwar pernah lantang menentang perkara terbabit ketika menjadi pembangkang.

“Contohnya pengumuman Timbalan Perdana Menteri berkaitan dengan dua projek bakal dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) menang PRK Sungai Bakap, (iaitu) penubuhan pusat aktiviti warga emas dan pembinaan sekolah jenis kebangsaan (tamil).

“Apakah ini budaya yang kita nak jalankan bila kita nak memerangi rasuah?” soal Awang.

Menjawab soalan itu, Anwar memberi jaminan mana-mana Menteri Kabinet atau agensi kerajaan yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan disiplin, memandangkan ia mempunyai kaitan dengan prinsip dibawa pentadbirannya, iaitu mencegah amalan dan budaya rasuah.

“Jadi kita tidak mahu ini diteruskan tetapi kalau penerusan projek sebelum penamaan calon itu saya tidak fikir dibangkitkan kerana kita buat keputusan Jemaah Menteri berkenaan, (ia menetapkan) sebaik saja penamaan calon tidak boleh.

“Kalau ada pelanggaran ini, tentunya Menteri harus mengambil (dan diambil) tindakan disiplin kerana melanggar keputusan Jemaah Menteri,” katanya. – 9 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related