Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Bekas Mufti Pulau Pinang, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia diangkat Tokoh Maal Hijrah 2024 | Scoop

Bekas Mufti Pulau Pinang, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia diangkat Tokoh Maal Hijrah 2024

Hassan, 82, bertugas dengan cemerlang selama 17 tahun menjadi Mufti Pulau Pinang bermula 1997, manakala Ali Muhyiddin, 75, adalah tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam

4:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, manakala Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi diumumkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2024.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh berkenaan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ hari ini.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Pengiktirafan peringkat kebangsaaan kepada Hassan, 82, adalah yang kedua buat anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu, selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012.

Hassan yang menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang selama 17 tahun bermula 1997 disifatkan telah bertugas dengan cemerlang dalam menjaga hal ehwal agama negeri itu selain turut dilantik sebagai penasihat syariah kepada beberapa institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia.

Hassan dan Ali Muhyiddin bersama anugerah yang diraih pada Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. – Gambar Bernama, 7 Julai, 2024

Lulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir itu juga telah memberi sumbangan besar kepada bidang pendidikan antaranya sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis di Pulau Pinang dan Pensyarah Fakulti Syariah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya serta Dekan Fakulti Syariah dan Ahli Senat universiti sama.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2014 itu juga banyak menyumbang dalam bidang penulisan, antaranya menghasilkan buku bertajuk Bai’al-Murabahah, Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad dan Kesesuaian Islam Untuk Semua Keadaan.

Sementara itu Ali Muhyiddin, 75, atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi merupakan tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam dengan keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam.

Berasal dari Qaradagh, Iraq, beliau banyak menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa antaranya dari Rusia, Turkiye, Kuwait, Sudan dan Jordan, selain turut dihormati kerana kecemerlangan dalam pelbagai cabang pendidikan Islam.

Ketokohannya terbukti bukan sahaja sebagai pakar perundangan malah telah menghasilkan lebih 100 kertas penyelidikan selain 59 buah buku meliputi pelbagai bidang.

Selain itu Sheikh Ali Al-Qaradaghi juga menjawat pelbagai jawatan penting antaranya selaku Professor Asas Perundangan Islam di Universiti Qatar, Naib Presiden European Council for Fatwa and Research selain Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Pusat Islam Universiti Oxford. – 7 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related