Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRK Sg Bakap: Calon PN selesai mengundi, sempat jumpa ibu tanya khabar | Scoop

PRK Sg Bakap: Calon PN selesai mengundi, sempat jumpa ibu tanya khabar

Selain ibu yang hadir dengan berkerusi roda, semua adik-beradik Abidin Ismail turut mengundi di Unit Daerah Mengundi Sungai Duri

10:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi ini.

Abidin, 56, meninggalkan pusat pengundian pada jam 8.20 pagi tadi.

Menariknya, beliau sempat bertemu dan bertanya khabar ibunya, Che Rafiah Zakaria, 79, yang menjadi pengundi warga emas paling awal selesai mengundi pada jam 8 pagi.

Che Rafiah yang bekerusi roda turut ditemani anaknya, Zalina Ismail, 58, untuk ke pusat pengundian.

“Alhamdulillah mak tunggu… memang setiap hari saya jumpa, tapi masa kempen ini ada kekangan masa, dua tiga hari sekali baru dapat jumpa.

“Mak ada penyakit gout, itu yang dia datang guna kerusi roda bersama kakak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pusat pengundian.

Ditanya mengenai saluran pengundi muda, Abidin berkata, kehadiran golongan itu awal pagi ini agak perlahan dan dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah tempat pertama kampung saya di UDM (Unit Daerah Mengundi). Kita lihat saluran muda, umur 18, 19 (tahun) tu agak perlahan.

“Mungkin ada yang kerja, nanti depa (mereka balik) Insya-Allah. Tapi masa PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu PN dapat undi tertinggi di sini,” katanya.

Biarpun berkerusi roda, ibu kepada calon PN, Abdin Ismail iaitu Che Rafiah Zakaria menunaikan tanggungjawabnya dengan mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri. – Gambar Bernama, 6 Julai, 2024

Menariknya, Abidin berkata, anak sulungnya yang berusia 18 tahun turut mengundi buat kali pertama pada PRK kali ini.

“Undi saya tidak rahsia. Semua adik-beradik saya mengundi di UDM Sungai Duri. Kita berdoa, munajat dan berserah kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lokasi calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin akan membuang undi, Abidin berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya tak tahu… (mungkin) mengundi di luar kawasan di Pulau Pinang tapi bukan DUN Sungai Bakap, dia bukan pengundi di sini,” katanya.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, hari ini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – 6 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related