KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar membalas sindiran Datuk Mohd Puad Zarkashi dengan mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu seorang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ‘low class’ atau kelas rendah.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, sebagai seorang Speaker DUN, Puad sepatutnya bersikap neutral dan impartial iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti.
“Maka Speaker yang dilantik, tidak lagi mencampuri urusan isu-isu politik kepartian. Apa yang sering Puad buat ialah, mencampuri urusan politik parti setiap hari.
“Komen ditulis kadang-kala dilihat lucu dan menghiburkan, dengan harapan mahu dirinya dilihat terus relevan di arus politik perdana negara.
“Berkemungkinan Puad masih lagi mengidam mahu jadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan satu hari nanti,” katanya.
Semalam, Puad berkata, alasan diberikan Noh bahawa beliau menyertai Bersatu kerana kecewa dengan nasib menimpa bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dianggap ‘low class’.
Puad mendakwa, keputusan Noh itu sebenarnya kerana beliau mengidam menjadi calon Parlimen Tanjung Karang kerana yakin kerusi berkenaan dikosongkan.
Malah, katanya, alasan dinyatakan Noh menunjukkan beliau sanggup menjual nama Najib demi melompat ke Bersatu.
Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau tidak menjual nama Najib untuk menyertai Bersatu dan mengakui, isu Adendum Tambahan dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu antara perkara yang mengecewakannya terhadap Umno.
Malah katanya, beliau sudah lama kecewa dengan Umno kerana parti itu tetap tidak berubah dan ditambah pula dengan isu Adendum Najib.
“Najib sekali lagi terperdaya dengan drama dan wayang dari rakan-rakan di sekeliling beliau. Mustahil menteri-menteri Umno tidak tahu sama ada adendum itu wujud ataupun tidak.
“Mengapa Kerajaan Madani tidak mahu mengesahkan samada adendum Yang di-Pertuan Agong wujud ataupun tidak, sedangkan ia melibatkan kuasa baginda dalam Perlembagaan Negara.
“Saya yakin jika bertukar kerajaan isu Adendum ini akan terbongkar sama ada wujud atau tidak,” katanya.
Pada masa sama, Noh meminta penjelasan Puad mengenai keputusan MKT Umno yang membincangkan isu Adendum dan pembebasan Najib dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti.
Malah beliau turut mempersoalkan mengenai tandatangan sokongan terhadap Najib yang didakwa akan diserahkan kepada Agong.
“Sudah lupa Puad? MT juga pernah buat keputusan untuk pimpinan Umno mengadap Agong untuk membebaskan Bossku.
“Semasa MT buat keputusan ini adakah Puad bersetuju ataupun adakah Puad berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan Agong, tetapi sebaliknya pimpinan Umno hendaklah pergi berjumpa PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Lembaga Pengampunan.
“Keputusan MT hanya untuk main wayang sahaja,” katanya.
Sementara itu, Noh menafikan dakwaan beliau menyertai Bersatu kerana ingin bertanding di kerusi DUN Tanjong Karang.
Sebaliknya, beliau mengakui, ada menerima tawaran untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tetapi ditolaknya.
Beliau juga menafikan lompat parti dan menegaskan menyertai Bersatu kerana bukan lagi ahli Umno.
“Saya juga sebelum ini tidak menganggotai mana-mana parti politik atas nasihat Bossku. Semasa berjumpa beliau di mahkamah beliau minta saya bersabar. Oleh itu, saya bebas untuk memilih mana-mana parti.
“Saya memilih parti Bersatu kerana saya lihat wadah perjuangan parti ini, adalah wadah perjuangan untuk orang-orang Melayu seperti perjuangan Umno asal yang kini sudah menjadi UMDAP. PN pula boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) yang hidup segan mati tak mahu,” katanya. – 6 Julai, 2024