KUALA LUMPUR – Bayaran subsidi berjumlah RM2.16 juta masing-masing kepada dua syarikat pengendali projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) masih belum dibuat sepenuhnya, kata Exco Selangor, Ng Sze Han (Kinrara-PH).
Beliau memberitahu, bayaran kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) dan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas) sebagai operator itu bukan jumlah yang tetap kerana sebahagian besar masih di bawah kawal selia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI.
“Sebahagian besar masih di bawah kawal selia MBI kerana kita kena kaji prestasi selepas Pembuktian Konsep (POC).
“Buat masa ini tiada sesiapa pun yang tahu berapa angka atau peruntukan yang sepatutnya kita disalur pada perkhidmatan ini, kerana ini perkhidmatan baru di Malaysia,’’ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Sze Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin yang ingin mengetahui mengenai bayaran yang dibuat kepada dua syarikat pengendali rintis DRT itu.
DRT merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.
Projek ini dilaksanakan oleh MBI dan dikawal selia oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec). – 5 Julai, 2024