Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lapor rasuah: Ganjaran tertinggi diterima penjawat awam adalah RM100,000 | Scoop

Lapor rasuah: Ganjaran tertinggi diterima penjawat awam adalah RM100,000

Berdasarkan data SPRM, pegawai dan anggota polis paling ramai menerima pengiktirafan tersebut iaitu seramai 349 orang, melibatkan ganjaran RM495,268

9:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ganjaran tertinggi yang pernah diterima oleh seorang penjawat awam kerana melaporkan jenayah rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah RM100,000.

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, ganjaran itu diberikan melalui surat pekeliling ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis adalah paling ramai menerima pengiktirafan tersebut iaitu seramai 349 orang melibatkan ganjaran sebanyak RM495,268.

Menurut beliau, ini diikuti 53 orang daripada Jabatan Imigresen dengan nilai ganjaran RM104,715; 25 orang daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (RM123,450); 17 orang daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM155,200) serta 11 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (RM5,800).

Menurut Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf, pegawai dan anggota polis paling ramai menerima pengiktirafan tersebut iaitu seramai 349 orang melibatkan ganjaran RM495,268. – Gambar SPRM, 6 Julai, 2024

“Ini diikuti lain-lain agensi dan sehingga kini, 514 penjawat awam sudah menerima pengiktirafan tersebut dengan jumlah ganjaran yang diberi adalah lebih RM1 juta.

“Melalui surat pekeliling bertarikh 11 Mei 2011 itu, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan,” katanya semalam.

Selain ganjaran, beliau berkata, penjawat awam terbabit akan diberikan sijil penghargaan dan mereka boleh dipertimbang pencalonan anugerah pingat di peringkat Persekutuan atau negeri.

“Inisiatif kerajaan ini adalah bagi menggalakkan penjawat awam untuk melaporkan rasuah selain mengiktiraf penjawat awam yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah,” katanya.

Selain ganjaran, penjawat awam yang melaporkan kes rasuah juga akan diberikan sijil penghargaan dan boleh dipertimbang pencalonan anugerah pingat di peringkat Persekutuan atau negeri. – Gambar hiasan SPRM, 6 Julai, 2024

Mohamad Tarmize memberitahu, berdasarkan statistik SPRM dari 2019 hingga 2023, seramai 2,163 penjawat awam ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah dan ia mewakili 43.3% daripada keseluruhan tangkapan iaitu 4,996 individu dalam tempoh yang sama.

Katanya, dari segi bentuk kesalahan rasuah, 1,347 penjawat awam atau 62.2% ditangkap kerana meminta dan menerima suapan; 463 orang (21%) ditangkap kerana membuat tuntutan palsu; 241 orang (11%) ditangkap kerana salah guna kuasa; dan 21 penjawat awam (satu peratus) kerana menawar dan memberi suapan.

Tambahnya, bakinya ditangkap kerana kesalahan-kesalahan lain.

“Pembabitan penjawat awam dalam jenayah rasuah telah memburukkan imej perkhidmatan kerajaan, merencatkan prestasi penyampaian, menjejaskan keselamatan awam dan menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Penjawat awam yang terlibat rasuah pasti tidak sayangkan diri, keluarga dan kerjaya mereka. Adakah berbaloi memperoleh banyak wang daripada aktiviti rasuah, tetapi hati sentiasa dibelenggu kerisauan? Bila-bila sahaja, boleh ditangkap SPRM,” tegasnya. – 6 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related