Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Bacaan talkin bapa undang sebak di pengebumian Hafiz Fauzan | Scoop

Bacaan talkin bapa undang sebak di pengebumian Hafiz Fauzan

Jenazah Hafiz Fauzan selamat dikebumikan pada 12.15 tengah hari

6:03 PM MYT

 

BATU PAHAT – Suasana sedih menyelubungi pengebumian jenazah Hafiz Fauzan Abdul Halik, 17, remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lepas, ketika bapanya sendiri membacakan talkin sebagai tanda kasih terhadap anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah di sini hari ini.

Bapanya, Abd Halik Sugiman, 44, mengakui walaupun sedih dengan penemuan anaknya yang sudah tidak bernyawa lagi, namun bersyukur kerana pencarian selama sebulan telah berakhir dan berterima kasih kepada mereka yang mendoakan serta terlibat dalam usaha mencari anaknya itu.

“Saya berterima kasih kepada rakan dan kenalan yang tidak putus-putus mendoakan agar arwah ditemukan setelah dilaporkan hilang, serta turut berterima kasih kepada sesiapa juga yang terlibat dalam usaha mencarinya.

“Antara kenangan tidak dapat saya lupakan adalah ketika Hafiz (Fauzan) memenagi acara merentas desa pada awal tahun ini (2024) dan terus menemui saya untuk memberikan khabar gembira itu ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayong, tempat saya mengajar,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian Hafiz Fauzan.

Jenazah Hafiz Fauzan selamat dikebumikan pada 12.15 tengah hari.

Terdahulu, jenazah dituntut oleh ahli keluarga di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan solat jenazah dilakukan di Surau Al-Muhajirin Bandar Putera Indah.

Rakan Allahyarham, Mohd Iman Danial Mohd Fauzan, 17, berkata pemergian sahabat baiknya itu amat dirasai kerana dia antara individu yang menjadi tonggak utama pasukan bola sepak dan kumpulan nasyid Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Katanya, sebaik mengetahui kehilangan Hafiz Fauzan, dia bersama rakan-rakan lain hampir setiap hari turut serta dalam usaha mencari dari pagi hingga ke petang.

“Hafiz seorang yang kuat bersukan. Selain bermain bola dan olahraga kami juga sering menghabiskan masa bersama menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan identiti rangka manusia yang ditemukan di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau pada 25 Jun lepas sebagai milik Hafiz Fauzan berdasarkan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA). – 5 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related