Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Umno Kedah dukacita, mahu Kerajaan Perpaduan nyatakan pendirian kewujudan surat Titah Adendum | Scoop

Umno Kedah dukacita, mahu Kerajaan Perpaduan nyatakan pendirian kewujudan surat Titah Adendum

Umno Kedah percaya pendirian ini penting bagi memastikan hak Datuk Seri Najib Razak sebagai warganegara untuk mendapat keadilan

5:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Umno Kedah menggesa Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian mengenai kewujudkan surat Titah Adendum kerana ia penting bagi memastikan hak Datuk Seri Najib Razak sebagai warganegara mendapat keadilan.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pada masa sama berkata, Umno Kedah turut dukacita dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak kebenaran bekas Perdana Menteri itu untuk menyemak kehakiman mencabar kewujudan titah itu.

“Umno Kedah menggesa Kerajaan Perpaduan untuk menyatakan pendirian akan kewujudan surat titah tersebut.

“Kami percaya, pendirian ini penting bagi memastikan hak Datuk Seri Najib Razak sebagai warganegara untuk mendapat keadilan dan status tersebut dapat diberikan seadil-adilnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Umno Kedah juga meminta keluarga Najib untuk tidak mengalah dan terus menggunakan ruang perundangan yang ada bagi memperjuangkan keadilan buat bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu sekadar khabar angin – Abdul Razak Latif/Scoop, 3 Julai, 2024

Terdahulu, hari ini, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati semua afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit yang difailkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu, sekadar khabar angin.

“Dalam afidavit Ahmad Zahid, beliau berkata dia dimaklumkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mengenai kewujudan titah adendum itu dan Tengku Zafrul memberitahunya bahawa Seri Paduka telah menunjukkan perintah itu kepadanya dan bahawa Tengku Zafrul juga telah mengambil gambar titah itu.

“Ahmad Zahid berkata dia melihat gambar titah adendum itu dalam telefon Tengku Zafrul, dikatakan mempunyai tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan khabar angin semata-mata, dengan sumber maklumat dan kefahamannya ialah Tengku Zafrul. Ahmad Zahid sendiri tidak mengetahui mengenai titah adendum itu sendiri melainkan apa yang didengari daripada Tengku Zafrul,” kata hakim dalam penghakimannya.

Amarjeet juga berkata afidavit Wan Rosdy yang menyatakan bahawa sumber maklumat beliau mengenai titah adendum itu ialah Tengku Zafrul, justeru kenyataan dibuat Wan Rosdy juga khabar angin.

Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 3 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related