KUALA LUMPUR – Pengundi Sungai Bakap terutaman golongan muda dinasihatkan supaya rasional dan bukan sentimen apabila memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan Sabtu ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebab untuk pengundi di Sungai Bakap tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin yang boleh menghubungkan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dengan lebih mudah.
Lebih 38,000 pengundi di DUN Sungai Bakap khususnya golongan muda dinasihat mengundi berdasarkan rasional dalam PRK Sabtu ini, bukannya berpandukan sentimen.
“Bila kita memilih calon, orang yang kita ingin pangkah mestilah calon itu di belakangnya ada kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat. Apa faedah pilih jika di belakang calon itu (tiada kedua-duanya))..Inilah realiti politik Malaysia.
“Apabila kita berada dalam kerajaan maka mudah untuk menyelesaikan masalah-masalah serta mendapatkan peruntukan.. maka gesaan saya berfikir secara rasional dan jangan menggunakan sentimen,” katanya ketika mengunjungi Pusat Media di Kompleks Rakan Muda, Jawi, di Nibong Tebal, hari ini.
Selain itu Ahmad turut menggesa pengundi DUN Sungai Bakap memanfaatkan cuti hujung minggu untuk keluar mengundi Sabtu ini, sekali gus memastikan peningkatan peratusan keluar mengundi berbanding 77% yang dicatatkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang lalu.
“Di KKB (Kuala Kubu Baharu) ketika PRN, peratusan keluar 68%, tapi PRK ia menurun 7% kepada hanya 61%.
“Oleh itu, kita harap di Sungai Bakap ini apatah lagi pengundi luarnya adalah dalam persekitaran Pulau Pinang (sahaja), dapat keluar mengundi dengan memanfaatkan cuti panjang Sabtu, Ahad dan Isnin (cuti umum Awal Muharam) untuk balik kampung (mengundi),” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail. – 3 Julai, 2024