Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Industri automotif beri respons positif gubal lemon law: Armizan | Scoop

Industri automotif beri respons positif gubal lemon law: Armizan

Lemon law memastikan pembeli barang pengguna, khususnya kenderaan boleh mendapatkan penggantian atau bayaran balik bagi produk yang dianggap 'lemon' (produk cacat)

12:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pemegang taruh termasuk pihak industri automotif memberi respons positif kepada cadangan kerajaan untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepengunaan melalui penggubalan undang-undang lemon law.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, maklum balas itu diperoleh menerusi penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada 4 Jun lalu.

Menurutnya, pihak industri berpendapat dengan penggubalan sistem perundangan lemon law ia sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara.

“Sebagai usaha berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha ini.

“Ini termasuklah penganjuran Simposium Kepenggunaan 2024 yang telah diadakan pada 4 Jun lalu bertujuan mendapat maklum balas daripada pemegang taruh berhubung pengukuhan kerangka perundangan lemon law di Malaysia.

“Bersandarkan kepada simposium tersebut didapati semua pihak atau stake holder termasuk pihak industri memberi respons positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepengunaan melalui Lemon Law sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui cabaran KPDN dalam menggubal akta baru atau meminda akta sedia ada berkaitan Lemon Law dan bagaimana tahap kerjasama pemain industri kenderaan terhadap cadangan pengenalan undang-undang itu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, buat masa ini kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan perundangan lemon law bersama kumpulan perunding pakar.

Katanya, kajian itu sudah bermula bulan lepas dan dijangka selesai pada September depan.

“Hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau memerlukan kepada penggubalan perundangan baru,” katanya.

Lemon law merujuk kepada undang-undang yang melindungi pembeli barang pengguna, khususnya kenderaan berkaitan produk yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

Undang-undang ini memastikan bahawa pembeli boleh mendapatkan penggantian atau bayaran balik bagi produk yang dianggap ‘lemon’ (produk cacat).

Ketika ini terdapat kelemahan pada undang-undang sedia ada menyebabkan pembeli kenderaan bermasalah tidak mendapat pembelaan atau ganti rugi sewajarnya daripada pengedar atau pengilang kenderaan. – 3 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related