SHAH ALAM – Polis menahan 11 Individu termasuk dua wanita selepas disyaki terlibat kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka ditahan ketika anggota Unit Rondaan Jenayah Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Ulu Klang mengadakan rondaan di Jalan Hillview sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki dua suspek dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.30 pagi, 28 Jun lalu.
“Sebuah kereta jenis Ford Ranger didapati membawa muatan kabel dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota URB mengarahkan kenderaan tersebut berhenti, tetapi kemudiannya bertindak memecut laju dan memasuki Lebuhraya SUKE menuju ke Ampang. Seorang suspek terjun dari kenderaan itu dan berjaya ditahan oleh anggota URB,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi suspek berjaya ditangkap pada jam 6.45 pagi oleh anggota polis.
Susulan itu Hussein berkata, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berjaya membuat tangkapan susulan ke atas enam lelaki dan tiga perempuan tempatan berusia antara 17 dan 33 tahun di Taman Botani, Klang.
“Keseluruhannya, sembilan lelaki dan dua wanita ditangkap, termasuk satu kes melibatkan warganegara asing. Ujian air kencing mendapati dua suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Semakan awal mendapati, sembilan suspek mempunyai dua hingga 14 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik, manakala dua lagi tiada rekod jenayah.
“Antara barang yang dirampas dari kumpulan ini termasuk 76 batang kabel yang dipotong pelbagai ukuran, tiga pikap, sebuah kenderaan jenis sedan, tiga mesin gerudi pelbagai jenama, satu mesin timbal dan empat telefon bimbit.
“Siasatan polis mendapati suspek terlibat dalam empat kes di Ampang Jaya, dua kes di Shah Alam dan tiga kes di Melaka, dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM200,000.
“Modus operandi suspek adalah menyasarkan kabel TM bawah tanah dengan memotong dan menarik menggunakan pikap. Mereka dipercayai mula mencuri kabel sejak setahun lalu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan, di mana jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum sehingga dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Kita juga menyerbu sebuah premis besi buruk di Klang yang dipercayai terlibat dalam sindiket curi kabel ini,” katanya. – 2 Julai, 2024