Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Politik kebencian dalam negara terlalu menebal, 'Dajal, ejen Israel, Yahudi semua dia sebut': PM | Scoop

Politik kebencian dalam negara terlalu menebal, ‘Dajal, ejen Israel, Yahudi semua dia sebut’: PM

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mempedulikan kata-kata pembangkang itu kerana beliau mempunyai tugas yang perlu dijalankan

10:11 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui politik kebencian dalam negara ini terlalu menebal sehingga fakta tidak dipedulikan sama sekali.

Perdana Menteri berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat, tindakan tersebut bagaimanapun terus diserang pembangkang.

“Kalau tengok di media sosial, pembangkang (ceramah) di Sungai Bakap, apa dia tak panggil? Dajal, ejen Israel, Yahudi, jual negara ini kepada China. Semua dia sebut. Seringkali saya jawab sikit-sikit tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punya tugas.

“Tidak mudah (memimpin) dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal. Tak ambil gaji pun dihina, banteras rasuah tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dikata ejen Yahudi.

“Fakta tidak dipedulikan sama sekali. Jadi yang dilontarkan hanyalah kebencian. Adakah ini harus mengganggu kita?… Tidak harus mengganggu kita,” katanya pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengumuman kerajaan mengenai kemasukan ke Matrikulasi untuk pelajar 10A ke atas semua kaum turut dipolitikkan sehingga beliau dituduh menjual maruah Melayu.

Namun katanya, sebagai ketua negara, beliau mahu berlaku adil kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira status dan kaum, tetapi pada masa sama tidak mengetepikan hak orang Melayu dan Bumiputera.

“Kalau anak-anak kita ini catat keputusan sangat cemerlang, ada anak orang kaya, ada anak dari Manek Urai, Kapit yang catat 10A. Ada anak India di estet. Jadi saya kata tanya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh tak?

“Jadi kita bincang dalam Jemaah Menteri minggu lepas… boleh. Maknanya yang dapat 10A itu kita jamin tempat yang dia pilih Matrikulasi.

“Bagaimana (pula) dasar Bumiputera, ini jaminan Perlembagaan (Perkara 153). Dan masih ramai jumlah orang Melayu, Bumiputera tidak mendapat peluang persaingan yang adil. Mana yang betul-betul cemerlang bagi ruang, tapi jangan dilupa yang di bawah,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, kerajaan memutuskan untuk menawarkan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum kemasukan ke Matrikulasi kerana mahu mengurangkan ketegangan dalam sistem pendidikan.

Katanya, dasar kuota Bumiputera yang ditetapkan untuk kemasukan ke matrikulasi kadangkala dijadikan isu yang agak keterlaluan sesetengah pihak.

Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan kuota Bumiputera masih dikekalkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun meritokrasi itu penting, masih terdapat keperluan untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi masyarakat terpinggir dan miskin. – 2 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related