KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hanya berseloroh ketika ditanya mengenai status peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.
“Untuk peruntukan (pembangkang) tunggu saya berlari dulu,” katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen, hari ini.
Selepas itu, tiada penjelasan lanjut diberikan Fadillah berhubung perkara itu.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya meraih sumbangan berjumlah RM160,000 selepas tiga hari berlari sejauh 200 kilometer (km) dari kawasan diwakilinya hingga ke bangunan Parlimen di sini.
Menerusi inisiatif yang dipanggil ‘Langkah Muar’ itu, Syed Saddiq tiba di hadapan bangunan Parlimen kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
“Sejujurnya saya terhutang budi dengan semua pihak apabila 2,000 rakyat Malaysia menyumbang, tetapi lebih saya terharu mereka bukan saja menyumbang secara dalam talian, malah sambil berlari ada yang sumbangkan duit mereka kepada misi ini.
“Ada yang beri RM100, RM50, RM10 dan ada adik yang beri RM1, ini sangat luar biasa,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq berkata, larian itu bertujuan mengutip dana RM100,000 bagi Pusat Khidmat Muar yang diperlukan untuk menggerakkan operasi bagi membantu rakyat.
Sementara itu, Syed Saddiq mendesak kerajaan mengembalikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang bagi memudahkan wakil rakyat membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing.
“Kita desak supaya hak itu dikembalikan, jangan nafikan kerana warna politik, itu tidak adil, zalim dan salah,” katanya.
Tegasnya, beliau akan mempertimbangkan untuk menggerakkan larian kali kedua, sekiranya kerajaan masih enggan memberikan peruntukan tersebut. – 1 Julai, 2024