KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menafikan penglibatan anggota Kabinet itu dalam mengajak atau mempromosikan untuk sesiapa menyertai mana-mana kumpulan di media sosial.
Menurutnya, dakwaan berhubung penglibatan Mohd Naim adalah tidak benar dan gambar serta profilnya disalah guna.
Justeru, katanya, pejabat beliau sudah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya.
“Sejak kebelakangan ini, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mendapati gambar serta profil dan kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan dengan itu, pejabat ini menafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlibat dalam urusan mengajak atau mempromosikan untuk menyertai mana-mana kumpulan di media sosial terutamanya di Whatsapp, Telegram mahupun Facebook,” katanya.
Kenyataan itu dikongsikan Setiausaha Politik kepada Mohd Na’im, Muhamad Razak Idris di Facebook.
Susulan perkara itu, tegasnya, semua pihak dinasihat agar sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu, sekiranya mendapat pelawaan tertentu menggunakan profil serta maklumat peribadi Mohd Na’im, terutamanya melalui media sosial. – 1 Julai, 2024