Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Rakaman CCTV hotel, analisis laporan forensik warga Israel Avitan Shalom diserahkan 30 Julai | Scoop

Rakaman CCTV hotel, analisis laporan forensik warga Israel Avitan Shalom diserahkan 30 Julai

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan mengesahkan perkara itu dan tidak membantah tempoh masa yang dimohon pihak pendakwaan

12:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan akan menyerahkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel dan analisis laporan forensik kepada pihak pembelaan membabitkan lelaki warga Israel Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru pada 30 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin, bahawa pihaknya sudah menyerahkan majoriti dokumen kepada peguam yang mewakili Avitan, 38, sebelum perbicaraan kes selama sembilan hari yang akan bermula pada 30 September ini.

“Ada beberapa dokumen yang masih belum diserahkan termasuk rakaman CCTV dan analisa laporan forensik berkaitan kes. Mohon tarikh sebutan dalam tempoh sebulan untuk pihak kami menyerahkan kesemua dokumen kepada pembelaan sebagai persediaan perbicaraan,” kata Mohamad Mustaffa pada sebutan kes hari ini.

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan mengesahkan perkara itu dan tidak membantah tempoh masa yang dimohon pihak pendakwaan.

“Kami juga bersetuju sekiranya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” katanya yang turut dibantu peguam Navinjit Singh.

Norina kemudian menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan baki dokumen.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304). 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara  6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac. – 28 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related