KUALA LUMPUR – Meskipun sudah lima tahun berlalu namun keluarga kepada seorang kanak-kanak, Muhammad Zahiruddin Putra, tetap menaruh harapan dia akan kembali ke pangkuan keluarga.
Muhammad atau lebih dikenali sebagai Zahir, hilang dari rumah pada 16 April 2019, ketika berusia lapan tahun selepas dilaporkan keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Kajang, untuk bermain.
Ketika ditemui Scoop, bapa kanak-kanak itu, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar percaya anaknya masih hidup dan dia sekeluarga amat merindui Zahir.
“Paling saya tidak tahan bila tiba bulan Ramadan, ketika saya nak bayar zakat fitrah, kerana saya masih bayar zakat fitrah untuk Zahir, tapi dia tiada bersama saya.
“Setiap kali menjelang raya, saya tidak kemana-mana selama seminggu walaupun sudah lima tahun berlalu dan meraikankannya hari raya tanpa Zahir,” katanya.
Malah, katanya, dua orang kakak Zahir iaitu Nur Syazrina, 22 dan Dayang Sharina, 20 sehingga kini masih termimpi-mimpikan kepulangan adik mereka.
“Mereka cakap, Zahir datang dalam mimpi dan beritahu di mana dia berada, iaitu di sekitar hutan berhampiran namun sehingga kini masih tidak mendapat sebarang petunjuk.
“Ini membuatkan saya yakin yang Zahir sebenarnya masih hidup,’’ katanya.
Mengimbas semula kenangan lalu, Fauzi berkata, Zahir suka bermain sendirian malah sebelum ini tiada kes kehilangan budak dilaporkan di kawasan berkenaan.
Fauzi, yang juga bapa kepada lima anak itu turut meluahkan kekesalannya kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan kononnya ingin membantu mencari Zahir, ketika kanak-kanak itu hilang lima tahun lalu.
“Pada mulanya mereka kata ikhlas nak cuba tolong carikan, tapi penghujungnya akan minta bayaran, jadi saya serik dengan mereka ini,” katanya.
Bagaimanapun Fauzi berkata, selagi masih bernyawa, dia tidak akan berhenti mencari anaknya itu.
Zahir dilapor keluar dari rumahnya pada kira-kira pukul 8 pagi untuk bermain dan sejak itu tidak pulang ke rumah. Laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu dibuat oleh bapanya pada hari yang sama.
Namun sehingga kini, tiada siapa yang mengetahui nasib Zahir, sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia. – 23 Jun, 2024