KUALA LUMPUR – Majlis Fatwa Negeri Perlis memutuskan daging korban Aidiladha boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-68 yang berlangsung baru-baru ini.
“Daging korban boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.
“Ia termasuk dalam muamalah baik yang dianjurkan terutamanya jika mereka dari kalangan ahli keluarga, jiran dan golongan miskin,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau berkata, keputusan tersebut turut mengambil kira keutamaan kepada orang Islam.
“Ini dengan mengambil kira keutamaan kepada orang muslimin dan keputusan ini bakal diangkat kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya.
Sebelum ini, infografik dikongsikan di Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memetik sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa Mazhab Syafie menyatakan tidak dibolehkan berbuat demikian kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bagaimanapun, seandainya dalam komuniti masyarakat di sesebuah tempat itu terdapat jiran bukan Islam dan mereka dikenali dengan sifat baik serta keramahannya terhadap masyarakat Islam, maka dibolehkan untuk diberikan daging korban tadi kepada mereka seandainya terdapat lebihan.
Namun, jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka perlu didahulukan umat Islam setempat yang lebih memerlukan. – 22 Jun, 2024