KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dun Nenggiri, Kelantan.
Ini susulan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman berkenaan.
“Sehubungan itu satu mesyuarat khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri akan diadakan pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teka-teki status Mohd Azizi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri akhirnya terungkai apabila kerusi tersebut diisytiharkan berlaku kekosongan luar jangka berkuat kuasa hari ini.
Perkara tersebut diumumkan Mohd Amar pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Dun Kelantan menerima notis bertulis di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Adun Nenggiri itu pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Pengumuman tersebut sekali gus merungkai perkembangan isu kerusi Dun berkenaan selepas Mohd Azizi, Adun Bersatu yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – 19 Jun, 2024