KUALA LUMPUR – Sikap mudah percaya, ‘terpukau’ dengan ganjaran berganda ditawarkan dan tidak ambil peduli kes demi kes dilaporkan.
Demikian antara punca masih ramai yang menjadi mangsa scammer, penipuan dalam talian dan mereka yang menawarkan ‘skim cepat kaya’ secara pelaburan melalui mesej iklan di WhatsApp.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dalam beberapa tahun terakhir ini.
Antara 2019 dan 2023, sebanyak 82,020 kes dilaporkan melibatkan isu berkaitan scammer dengan jumlah kerugian terkumpul sebanyak RM2.6 bilion.
Ia bukan jumlah yang sedikit untuk ‘dibuat main’ dan memerlukan satu kesedaran tinggi semua pihak, bukan sahaja menanganinya tetapi bagi orang biasa, tidak mudah ‘melayan’ si penipu yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Persoalannya, akan ada sahaja yang masih menjadi mangsa biarpun kes demi kes dilaporkan polis dan disiarkan media. Sampai bila nak jadi mangsa?
Terbaharu kelmarin, Scoop melaporkan mengenai seorang warga emas berusia 75 tahun kerugian lebih RM2 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan berkaitan pembelian saham melalui pesanan di WhatsApp.
‘Pelaburan’ bermula pada Mei dan bulan ini dengan mangsa ‘digula-gulakan’ kononnnya ‘pelaburan’ awal berjumlah RM2,276,000 itu telah mencatatkan keuntungan RM12.9 juta.
Mengulas mengenainya, pakar kriminologi dari Universiti Malaya (UM), Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, sifat mudah percaya menjadi faktor utama kes penipuan dalam talian masih meningkat.
“Sifat mangsa yang mudah percaya, terutamanya apabila ditawarkan sesuatu yang kelihatan menarik seperti ganjaran yang berganda menyebabkan mangsa mudah terpedaya.
“Penipu biasanya menggabungkan iklan palsu dengan iklan yang kelihatan asli, menjadikan ia sukar untuk dibezakan oleh orang awam,” katanya.
Menurutnya, walaupun statistik menunjukkan penurunan kes yang dilaporkan sejak tahun lepas, jumlah kerugian masih tinggi kerana banyak kes yang tidak dilaporkan.
“Terdapat sebahagian besar orang awam tidak melaporkan apabila ditipu atas dasar malu. Walaupun statistik menunjukkan penurunan tetapi kita tidak boleh percaya kerana banyak kes yang masih belum dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata, kesukaran menangkap pelaku penipuan di negara ini adalah disebabkan sukarnya mengesan aliran wang yang sering kali hilang tanpa jejak yang jelas.
Katanya, pada masa ini tiada undang-undang spesifik untuk menangani isu penipuan dalam talian, selain daripada Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tiada undang-undang yang spesifik dan efektif untuk menangani kes-kes penipuan dalam talian.
“Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji isu ini, namun sehingga kini, tiada undang-undang yang ketara atau jelas mengenai cara menanganinya. Kaedah yang sedia ada agak susah untuk sabitkan seseorang itu,” katanya.
Menurutnya, undang-undang khas ini perlu merangkumi kaedah siasatan dan pembuktian yang lebih mudah dan praktikal supaya scammer boleh ditangkap dan didakwa dengan lebih berkesan.
PENIPUAN DALAM TALIAN GUNA AI
Sementara itu, pakar keselamatan siber dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Selvakumar Manickam berkata, jika kerajaan tidak mengukuhkan penguatkuasaan keselamatan siber, kes penipuan dalam talian akan bertambah dengan ketara.
“Bilangan kes penipuan boleh meningkat, membawa kepada kerugian kewangan yang meluas bagi individu dan perniagaan. Seterusnya orang ramai akan hilang kepercayaan terhadap sistem digital dan transaksi dalam talian,” katanya.
Menurutnya, kerajaan telah berusaha untuk memperbaiki sektor keselamatan siber, namun masih banyak kes yang berlaku, menunjukkan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi.
“Kajian mendapati Malaysia adalah salah satu daripada sepuluh negara teratas yang paling banyak diserang siber. Kerajaan, institusi perbankan, syarikat telekomunikasi dan polis perlu bekerjasama dan bersiap sedia untuk menghadapi ancaman siber baharu,” katanya.
Katanya, penipuan dalam talian kini semakin membimbangkan memandangkan penjenayah kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mencuri maklumat dan memperdaya mangsa.
“Masalah AI digunakan oleh penjenayah siber bukanlah unik kepada Malaysia, ia adalah kebimbangan global. Ini sangat berbahaya kerana AI sering digunakan untuk tujuan jenayah dengan lebih berkesan berbanding untuk perlindungan,” katanya.
Beliau berkata, kekurangan profesional mahir yang mempunyai kepakaran dalam kedua-dua keselamatan siber dan AI menjadi masalah untuk membendung kes penipuan dalam talian.
KAEDAH SIMPAN DATA KETINGGALAN ZAMAN
Mengulas perkara sama, Pengerusi Eksekutif firma LGMS Bhd, Fong Choong Fook berkata, secara keseluruhannya tahap kesedaran keselamatan negara masih rendah.
“Kita masih melihat agensi kerajaan digodam, walaupun banyak teknologi tersedia untuk pencegahan, perlindungan dan tindak balas. Malangnya, kejadian penggodaman masih berlaku kerana langkah pencegahan tidak diambil dengan serius,” katanya.
Kini katanya, terdapat kerisauan melalui Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan baru-baru ini.
“Lebih banyak data dikumpul, lebih tinggi risikonya jika kita tidak tahu bagaimana melindunginya. Kerajaan sepatutnya merangka infrastruktur yang lebih moden tanpa perlu menyimpan data di satu lokasi tunggal. Oleh itu, kaedah ini dianggap sudah ketinggalan zaman,” katanya.
Katanya, cara yang lebih baik adalah dengan mencipta gerbang (gateway) yang membolehkan akses data dari pelbagai sumber dan menggunakan mekanisme ‘baca sekali, musnah sekali’.
“Contohnya, untuk memahami sejarah perjalanan seseorang, kita tidak perlu mengumpul semua data perjalanan imigresen dalam satu pangkalan data. Sebaliknya, kita gunakan gerbang yang menghubungkan pangkalan data imigresen dengan pusat, dan mengakses data melalui gerbang tersebut.
“Setelah data digunakan, data itu boleh dimusnahkan,” katanya.
Menurutnya, Singapura antara negara Asia yang telah berjaya melaksanakan kaedah itu. – 20 Jun, 2024