Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Agong dipersembah laporan terkini RCI kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan | Scoop

Agong dipersembah laporan terkini RCI kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai 1km dari pulau itu milik Malaysia. Hak milik Tubir Selatan pula akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya

1:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.

Pada Februari lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta merta.

Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 27 Februari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Azalina berkata, rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.

Pada 12 Jun lepas Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup. – 18 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related