KUALA LUMPUR – Tindakan membuang haiwan seperti kucing di pasar perlu dihentikan segera kerana perbuatan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Bercakap kepada Scoop, Pengurus Pusat Kawalan dan Penjagaan Khas Kucing Terbiar, Abdul Halim Mohamad Nasir, 60, berkata, langkah sewajarnya yang perlu diambil adalah menghantar kucing tersebut ke pusat perlindungan haiwan, bukannya membiarkan mereka merayap di jalanan termasuk pasar.
“Bagi saya, tidak sewajarnya buang di pasar, sebaliknya letakkan di pusat perlindungan haiwan (shelter) yang menawarkan khidmat penjagaan.
“Sekiranya mana-mana pihak ternampak kucing jalanan atau sudah tidak boleh membela kucing disebabkan pelbagai faktor misalnya kesihatan, langkah terbaik hantar kepada pusat perlindungan.
“Macam Pusat Kawalan dan Penjagaan Khas Kucing Terbiar yang diusahakan saya bersama isteri dan anak. Kami bersedia menerima kucing-kucing ini. Tak semestinya mereka akan dapat makan secukupnya jika dibuang di pasar,” katanya yang juga pesara tentera.
Menurut Abdul Halim, sehingga kini pusat perlindungan kucing diusahakannya yang terletak di Wangsa Maju itu menjaga lebih 125 kucing pelbagai baka yang diterimanya daripada orang ramai termasuk dari luar Lembah Klang.
“Selain orang dari KL, Selangor, ada juga mereka yang datang dari Terengganu, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan yang hantar kucing ke sini untuk mendapatkan penjagaan lebih rapi.
“Ada juga yang jumpa di jalanan dan mereka serahkan kepada kami. Jadi kami mengalu-alukan orang ramai untuk berbuat demikian demi kebaikan kucing itu sendiri.
“Di pusat penjagaan ini, kami beroperasi menggunakan dana sendiri selain bantuan daripada NGO (badan bukan kerajaan) dan orang perseorangan yang bermurah hati menghulurkan sumbangan,” katanya yang memperuntukkan hampir RM1,000 setiap bulan bagi membeli makanan dan pasir kucing.
Sementara itu, ahli persatuan Trap, Neuter and Release Malaysia (TNRM), Hana Ghazali, 40, pula berharap masyarakat akan lebih peka dengan nasib kucing terbiar dan tidak sesekali membuang mereka di pasar sebagai jalan penyelesaian mudah.
“Saya duduk dalam kawasan gated (berpengawal) dan apa yang saya perhatikan komuniti di sini bila nampak kucing-kucing terbiar, mereka akan mengadu kepada pihak pengurusan. Kemudian pengurusan akan letakkan kucing-kucing ini di pasar berhampiran sebab itu penyelesaian mudah yang mereka nampak.
“Sepatutnya tidak boleh begitu, masyarakat kena lebih peka dengan kebajikan dan keperluan haiwan sebab bukan kita sahaja makhluk Allah dalam dunia ini.
“Kalau nampak kucing terbiar, orang ramai patut menghantar haiwan itu ke pusat perlindungan berdekatan. Itu adalah lebih baik,” katanya.
Mengikut peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015, takrifan pemunya haiwan adalah mana-mana orang yang memiliki apa-apa haiwan termasuk mana-mana orang pada masa ini bertanggungjawab mengenai mana-mana haiwan atau mana-mana orang yang menghuni mana-mana premis.
Ia jelas membuktikan tindakan segelintir individu yang membuang atau meninggalkan kucing dengan alasan haiwan berkenaan bukan milik mereka atau tidak mahu bertanggungjawab atas kelahiran anak haiwan terbabit adalah satu kesalahan.
Jika tertangkap, hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 menanti pelaku yang tidak bertanggungjawab. – 22 Jun, 2024