KUALA LUMPUR – Bahagian Toksikologi, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia sedang menjalankan analisis ke atas satu sampel darah milik kanak-kanak berusia dua tahun yang maut disyaki keracunan makanan dalam kejadian di Gombak, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan Jabatan Kimia, sampel darah mangsa itu diterima daripada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Ahli Kimia di Bahagian Toksikologi sedang menjalankan analisis ke atas sampel darah yang diterima dan analisis akan disiapkan dengan kadar segera.
“Pegawai penyiasat akan dimaklumkan sebaik sahaja analisis selesai dijalankan,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Kimia sentiasa komited dalam memastikan keperluan rakyat sentiasa didahului.
“Ia seiring dengan kemajuan sains dan teknologi sedia ada,” katanya.
Terdahulu, kanak-kanak perempuan itu dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun serta telur mata yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah agama pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu sehari kemudian.
Manakala, Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, daripada 247 mangsa yang terdedah, dua individu maut manakala 82 mengalami gejala keracunan, seperti cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya selepas makan bihun dan telur mata disediakan pada program berkenaan.
Katanya, sebanyak 28 individu sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke wad. – 12 Jun, 2024