KUALA LUMPUR — Para pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang merancang untuk menaikkan kadar tambang susulan langkah kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar, menyaksikan harga runcit bahan api itu di semua stesen minyak di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter.
Pengusaha bas sekolah di kawasan Damansara, Nurul Nurliana Rusman ketika dihubungai Scoop mengesahkan perkara itu sambil menambah ia tidak dapat dielakkan jika mengambil kira hasil keuntungan selepas ini.
“Kuota isi padu minyak melalui fleet card terhad tapi untuk pengusaha bas sekolah, berat untuk ditanggung kerana keuntungan kami dapat adalah sedikit. Ada di antara kami yang sekarang hanya dalam keadaan bertahan.
“Apabila kami naikkan harga tambang, ramai ibu bapa akan marah dan pertikai, mereka kata kami dapat subsidi diesel dengan harga murah.
“Namun mereka tak ambil kira kuota yang kami terima adakah sekadar mencukupi, alat gantian yang kami kena tukar dan tak semua kenderaan peniaga kecil berdaftar sebagai kenderaan perdagangan,” katanya.
Nurul Nurliana berkata, dia difahamkan hanya minyak diesel tertentu yang mendapat subsidi berkenaan.
“Tentang subsidi diesel, yang dapat subsidi diesel hanya diesel Max, sebelum ini berharga RM2.15 naik kepada RM3.35 tetapi tidak semua kenderaan sesuai menggunakan diesel ini.
“Ada kenderaan apabila menggunakan diesel Max kenderaan mereka menjadi semput, jika perkara ini terjadi pengusaha terpaksa berulang-alik ke bengkel untuk membaiki kenderaan.
“Jadi sama ada mahu atau tidak, pengusaha terpaksa menggunakan diesel Turbo Euro yang harganya mahal walaupun tidak dapat harga subsidi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan tidak memberi masa yang cukup untuk operator bas bersedia dengan kenaikan tersebut.
“Tak semua pengusaha sudah terima fleet card, ada yang dah lulus tapi kad masih belum diterima. Jadi mereka ‘pay and claim’ dalam masa tempoh masa yang yang lama, berapa ratus mereka nak kena keluarkan untuk ‘cover’ harga diesel sekarang dan bila duit yang dituntut itu akan diterima semula?” Soalnya.
Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, fleet card yang dikeluarkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) untuk 33 jenis pengangkutan awam dan kenderaan barang mempunyai had pengisian dari segi liter, bukan jumlah nilai.
“Terdapat had dari segi liter, bukan jumlah (nilai), pengumuman terperinci mengenai perkara itu akan dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,” katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Malaysia, Amali Munif Rahmat menggesa operator bas sekolah supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru menaikkan harga tambang memandangkan kesan penarikan subsidi berkenaan belum dirasai.
Menurutnya, dia tidak menafikan terdapat kemungkinan kenaikan tambang bas sekolah akan berlaku disebabkan kesan rantaian peningkatan kos operasi.
“Pemandu bas sebenarnya terpaksa naikkan harga tambang, ada asasnya tetapi kalau naikkan dengan serta-merta ini tidak patut kerana belum nampak kesan subsidi itu ditarik. Kalau nak naikkan pun tunggu dulu, tengok bagaimana kenaikan kos meningkat atau tidak.
“Saya tidak menafikan kemungkinan di masa akan datang, ada kenaikan tambang kesan daripada kos rantaian. Maksudnya, harga alat ganti, minyak hitam, tayar dan kos di bengkel naik.
“Jika kos operasi melebihi pendapatan, operator bas dalam kerugian dan terpaksa menaikkan harga untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan,” katanya.
Katanya, kenaikan harga tambang adalah perlu untuk pastikan perkhidmatan bas sekolah dapat terus beroperasi dengan baik.
Amali berkata, sekiranya ibu bapa tidak setuju dengan kadar yang ditawarkan, mereka perlu mencari penyedia perkhidmatan lain yang lebih murah.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan supaya pengusaha bas ekspres dan bas sekolah tidak menaikkan kadar tambang susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung.
Loke mengulas khabar angin berkaitan kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin. – 13 Jun, 2024