KUALA LUMPUR — Lesen syarikat pelancongan, Pasadana Travel and Tours Sdn Bhd digantung lapan bulan 12 hari, berkuat kuasa 20 April hingga 31 Disember ini.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi kenyataan hari ini.
“Motac memutuskan untuk menggantung lesen syarikat Pasadana Travel and Tours Sdn Bhd (lesen KPK:9327) selama lapan bulan 12 hari berkuat kuasa mulai 20 April 2024 sehingga 31 Disember 2024.
“Penggantungan lesen syarikat ini adalah selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah subseksyen 8(1)(b),” katanya.
Motac memaklumkan, akta itu menyatakan pengusaha pelancongan berlesen melanggar mana-mana syarat dikenakan di bawah lesen, mana-mana peruntukan akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian, subseksyen 8(1)(d).
Katanya, subseksyen 8(1)(d) adalah ia menjalankan perniagaan mengikut cara memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Dalam tempoh penggantungan lesen ini, tegasnya, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu, seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.
“Dalam tempoh penggantungan ini juga, syarikat terbabit dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat.
“Sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan selepas habis tempoh lesen,” katanya.
Berdasarkan tinjauan ke atas senarai syarikat yang mempunyai lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah atau ziarah tertera di laman sesawang Motac, operasi lesen Pasadana Travel and Tours Sdn Bhd didaftarkan bagi tempoh antara 1 Mac 2019 hingga 6 Mac 2026.
Terdahulu, ‘kecoh’ di media sosial dakwaan syarikat dengan nama sama ‘menipu’ pelanggan, malah membisu apabila tidak memulangkan wang walaupun tuntutan sudah dikemukakan. – 11 Jun, 2024