Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Saya masih wakili ibu Zayn: Peguam Mahmud Jumaat | Scoop

Saya masih wakili ibu Zayn: Peguam Mahmud Jumaat

Datuk Zayn memohon maaf kepada Mahmud di atas kekeliruan yang timbul susulan kenyataannya sebelum ini

11:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam Mahmud Jumaat mengesahkan beliau masih mewakili ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu.

Pengesahan itu dibuat bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan kenyataan datuk Zayn, Zahari Mohd Reba, 56, yang mendakwa tidak pernah melantik Mahmud sebagai peguam mewakili anak dan menantunya.

“Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan. Kami telah hadir ke mahkamah tempoh hari (Jumaat lalu) mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan).

“Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Malah Mahmud memaklumkan, Zahari sudah memohon maaf di atas kenyataannya yang mengelirukan sebelum ini.

“Semalam, saya telah dihubungi oleh datuk Zayn melalui aplikasi WhatsApp mengenai isu ini dan dia juga memohon maaf tentang apa yang berlaku.

“Saya harap isu perlantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini,” katanya.

Menceritakan lebih lajut, Mahmud berkata, beliau dihubungi keluarga bapa Zayn pada jam 11 malam 31 Mei lalu mengenai penahanan pasangan suami isteri itu dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi permohonan reman pada 1 Jun.

“Saya ingin tekankan bahawa ini bukan inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn sendiri. Entah dari mana cerita bahawa saya ni dari NGO??

“Masa bila saya nak dapatkan sign (tandatangan) surat perlantikan rasmi? Saya dengan suci hati niat ingin membantu dalam hati terdetik “kesian mereka ni, dahlah kehilangan anak, direman menjadi orang yang disyaki (OYDS) pula, besar dugaan mereka,” katanya.

Malah Mahmud berkata, pada 2 Jun lalu, datuk Zayn mahu berjumpa dengannya kerana dia tidak berada di mahkamah ketika reman.

Susulan itu, katanya, dia mengajak keluarga datuk Zayn untuk berjumpa dan berbincang mengenai perkara tersebut pada 3 Jun walaupun hari tersebut cuti umum.

“Selepas perjumpaan tersebut keesokannya saya membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu, seperti kenyataan saya apabila dihubungi oleh rakan media. Saya ikhlas membantu mereka.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya ini adalah fitnah! Saya datang mahkamah tempoh hari tersebut untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah?

“Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutamannya ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” katanya.

Sementara itu, Mahmud turut berterima kasih kepada keluarga ibu Zayn kerana membuat pencerahan mengenai perkara tersebut.

“Keluarga Isma mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes. Terima kasih di atas pencerahan yang dibuat.

“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita,” katanya.

Terdahulu, Scoop melaporkan Mahmud hanya akan mengeluarkan kenyataan ‘mengejutkan’ mengenai isu berkaitan pada 13 Jun ini.

“Betul tiada (sidang akhbar). Nanti Khamis kita buat kejutan, tunggu Khamis,” katanya.

Tarikh ditetapkan Mahmud itu bersamaan dengan hari terakhir tempoh reman kedua dikenakan ke atas ibu bapa Zayn. – 10 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related