KUALA LUMPUR – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin dibawa ke Apartment Idaman dekat Damansara Damai pagi ini, dipercayai bagi melengkapkan siasatan polis terhadap kematian kanak-kanak autisme itu.
Scoop difahamkan wanita itu dibawa menaiki van putih menujuk ke blok R kediaman terbabit kira-kira jam 10.15 pagi.
Kawasan perumahan itu kini dikawal ketat polis termasuk urusan keluar masuk penduduk.
Difahamkan juga ibu kepada kanak-kanak itu akan dibawa semula ke lokasi Zayn Rayyan ditemukan termasuk melakonkan semula kejadian kehilangan anaknya.
Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak di kediaman berkenaan.
Sementara itu peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin memberitahu Scoop bahawa beliau tidak dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkembangan terbaharu itu.
Malah beliau memaklumkan belum mendapat sebarang jawapan daripada polis mengenai permohonannya untuk bertemu dengan pasangan berkenaan.
“Polis memang tak inform (maklumkan) apa-apa kepada saya. Permohonan saya untuk bertemu ibu dan bapa mangsa juga belum ada sebarang maklum balas,” katanya yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya.
Pada 7 Jun lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan dilanjutkan enam hari, hingga 13 Jun ini.
Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman keesokan hari.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri. – 10 Jun, 2024