KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menemplak Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana sering memainkan isu perkauman dan masalah air di negeri itu.
Menurutnya, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah sentiasa menghasut rakyat bukan sahaja di Kedah tetapi setiap kawasan yang dikunjunginya supaya menolak Kerajaan Perpaduan seperti dalam kempen Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap, semalam.
“(Ketua) Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS, Menteri Besar (Kedah) kawan saya, tak sampai jadi kawan baik tapi kawan sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri yang kerap bertemu di Putrajaya atas urusan Persekutuan dengan kerajaan negeri. Dia memang banyak menghasut rakyat bukan saja di Kedah tapi di setiap tempat dia pergi.
“Dia akan mainkan isu perkauman. Saya dimaklumkan semalam dia berada di Sungai Bakap untuk pelancaran jentera PN. Dan antara ucapan dia menyentuh tentang isu air di Pulau Pinang. Dia kata mengapa isu air, kekurangan air atau tekanan air berlaku di Sungai Bakap. Satu kawasan majoriti Melayu.
“Mengapa bukan di Tanjong, mengapa tidak di Jelutong misalnya. Tapi kita tahu ini bukan satu isu perkauman. Semasa bulan Januari kita melaksanakan kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerajaan Perpaduan N20 Sungai Bakap, malam ini.
Kon Yeow menjelaskan, bukan saja penduduk di Sungai Bakap tetapi hampir 95% rakyat di negeri itu terkesan dengan gangguan bekalan air akibat kerja pembaikan di LRA Sungai Dua pada Januari lalu.
“Tak kisah dia orang Melayu, orang Cina, orang India, warga asing ataupun pelabur asing. Semua terkesan oleh kerja-kerja pembaikan itu. Air itu apabila dipulihkan tidak hanya akan cari rumah orang Cina, dia masuk ke rumah Cina.
“Bila air melalui paip sampai rumah orang Melayu, air boleh elakkan rumah orang Melayu ke rumah-rumah lain. Itulah otak Sanusi cara dia fikir, tetapi dia popular sebab orang suka dengar ucapan tak masuk akal ini. (Jadi) Sungai Bakap kita perlu menolak kempen berbaur agama dan perkauman.
“Kita akur di Pulau Pinang oleh kerana peningkatan ekonomi, industri beberapa tahun ini kita memang menghadapi cabaran pembekalan mencukupi kerana permintaan sudah meningkat dengan mendadak kerana kadar tarif kita paling rendah,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan lapan projek bagi memastikan bekalan air menjelang 2028 dapat dipulihkan di semua kawasan terkesan termasuk Sungai Bakap.
“Di Kedah (pun) hadapi cabaran air, jadi jagalah Kedah sebelum tuduh Pulau Pinang. Pulau Pinang ada kawasan tertentu (terjejas) tapi pada keseluruhan dari segi pembekalan air adalah terjamin keselamatannya.
“Memang saya tidak nafikan, saya terkejut baru-baru ini di Putrajaya Sanusi datang. Memang sebelum ini kita berbalah, dia kata nak kutip raw water chargers (caj air mentah). Saya kata kita ambil air dari Pulau Pinang, kenapa nak bayar?
“Walaupun kawasan tadahan di Kedah tetapi pengambilan air melibatkan negara-negara yang menggunakan sumber air mentah sama, dikawal oleh undang-undang antarabangsa. Jadi kita memang menggunakan hak kita mengambil air dari Sungai Muda dari Pulau Pinang untuk kegunaan negeri ini,” katanya.
Tegasnya sebagai Pengerusi PBAPP beliau berani membincangkan masalah air di kawasan Sungai Bakap di pentas Majlis Pelancaran Jentera PRK Kerajaan Perpaduan N20 Sungai Bakap, malam ini.
“Loji kedua akan siap tapi kita tidak elak tanggungjawab membincangkan isu air di kawasan Sungai Bakap ini. Kalau orang lain tak berani untuk hadapi rakyat terkesan akibat masalah air di kawasan ini khususnya.
“Kita tidak lari dari tanggungjawab, apabila ada masalah kita berikhtiar cari penyelesaian laksana projek diperlukan untuk penambaikan dan juga projek jalan untuk atasi kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Memang banyak projek diluluskan pada 2024,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan Sanusi menyindir Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju tetapi ada penduduk di Nibong Tebal dan Sungai Bakap yang masih tidak mendapat bekalan air sejak enam tahun lepas.
Sambil menyifatkan ia sebagai memalukan, Sanusi berkata, perkara itu menghairankan apatah lagi Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang ditatang dan ‘dikasihi’ oleh Kerajaan Persekutuan.
Justeru, beliau menawarkan untuk menjual air bersih dari loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim.
“Saya nak umum malam ini, Yang Berhormat Tuan Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) kalau tidak ada air di Nibong Tebal saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar… kalau nak beli saya jual… saya (Kedah) bukan tidak ada air bersih.
“Kalau nak beli saya (Kedah) jual, di LRA Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ dengan suci hati tapi kena beli tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” katanya. – 9 Jun, 2024