PUTRAJAYA – Harga runcit diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia ditetapkan RM3.35 seliter berkuatkuasa 12.01 tengah malam Isnin (10 Jun), sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bagaimanapun kekal RM2.15 seliter.
Bagaimanapun, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal RM1.88 di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0.
Manakala diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

Amir pada sidang media di Kementerian Kewangan berkata, harga berkenaan adalah berdasarkan ‘Mekanisme Harga Automatik’.
Jelasnya, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun hasil penyasaran subsidi diesel.
Beliau menambah, pada 2019, kerajaan membelanjakan RM1.4 bilion untuk subsidi diesel.
Bagaimanapun, dalam masa lima tahun, kerajaan secara beransur-ansur menggandakan jumlah itu dengan jumlahnya meningkat kepada RM14.3 bilion tahun lepas.
“Penggunaan diesel bersubsidi meningkat dengan mendadak dari 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lalu, walaupun tidak ada peningkatan ketara dalam jumlah kenderaan diesel.
“Disebabkan aktiviti penyeludupan, kerajaan kehilangan berbilion ringgit sehingga ke tahap di mana keupayaan untuk melindungi kepentingan rakyat telah berkurang,’’ katanya.
Beliau menambah, diesel tanpa disubsidi mungkin akan menjadikan perdagangan haram melibatkan bahan api kurang menguntungkan.
“Dana yang disimpan oleh kerajaan melalui inisiatif ini (subsidi diesel bersasar) adalah penting untuk memastikan sumber dapat disalurkan ke sektor kritikal lain yang memberikan kesan kepada kualiti hidup rakyat, termasuk kemudahan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak.
Ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk meminda subsidi diesel bersasar berdasarkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemain industri, beliau berkata, “Biarkan ia bergerak dulu, kita lihat bagaimana perkembangannya. Jika ada jurang material, maka kita akan melihatnya, tetapi data yang ada mencukupi untuk kita teruskan (dengan subsidi diesel bersasar).
Dalam pada itu, kumpulan pertama yang meliputi lebih 30,000 penerima bakal memanfaat bantuan Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi sebanyak RM200 yang didepositkan ke dalam akaun bank mereka, esok (10 Jun).
“Individu layak yang namun masih belum memohon bantuan itu masih boleh menerima bantuan bagi bulan Jun ini sekiranya mereka membuat permohonan sebelum akhir Jun,” tambahnya.
Kerajaan menyarankan individu pemilik kenderaan diesel, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang layak untuk memohon Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my.
Pemilik kenderaan logistik yang layak juga boleh memohon untuk mendapatkan fleet card di bawah SKDS 2.0 di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my. – 9 Jun, 2024