Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Taklimat kewarganegaraan DAP bahaya, umpama ‘bakar negara’ | Scoop

Taklimat kewarganegaraan DAP bahaya, umpama ‘bakar negara’

Katanya, taklimat itu tidak boleh dilaksanakan organisasi kepartian, ia bidang JPN dan KDN

10:32 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wakil rakyat dari DAP yang mahu mengadakan program taklimat dan penerangan berkaitan isu tidak memiliki status kewarganegaraan, dianggap perkara bahaya dan boleh diumpamakan sedang ‘membakar Malaysia’.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sepatutnya tugas begitu penting itu, tidak boleh dilaksanakan organisasi kepartian, bahkan ia adalah bidang khusus Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Amaran keras untuk pihak yang sedang membakar negara ini, jangan sekali-kali berani melakukan tindakan bodoh, jika tidak ingin berdepan dengan tindakan undang-undang di kemudian hari.

“Rakan-rakannya di dalam kerajaan juga jangan berpura-pura marah dan naik angin, kamulah yang sedang membantu menyemarakkan api!” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, malah DAP wajib menjelaskan secara terperinci apakah langkah dilakukan individu bernama Yeap Choon Keong yang mendakwa, dirinya sebagai Pengarah Program Kewarganegaraan parti itu di Pulau Pinang dan berjaya membantu mendapatkan kerakyatan untuk beberapa individu.

“Mengikut data di dalam media sosialnya sendiri, pada Mei 2024, enam kes berjaya diselesaikan, lima kes pada April dan tiga kes pada Mac lalu.

“Mohon jelaskan, apa ‘kabel’ digunakan sehingga mujarabnya usaha orang ini. Tidak cukupkah kaedah biasa di JPN dan KDN untuk menyantuni urusan ini?” soalnya.

Terdahulu, berdasarkan poster dikongsikan pemimpin DAP di media sosial sejak beberapa hari lalu, taklimat itu dijadual diadakan pada 30 Jun ini di Johor Bahru, dengan ia terbuka kepada semua bangsa, terutama mereka yang tercicir dari golongan B40.

Bagaimanapun, program berkenaan mencetuskan polemik apabila netizen meluahkan kemarahan berhubung penganjurannya kerana menegaskan, perkara berkaitan permohonan kewarganegaraan adalah urusan kerajaan, iaitu di bawah KDN, bukan urusan parti politik.

Mereka turut menyifatkan jika program mahu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Stulang, Andrew Chen Kah Eng itu diteruskan, ia hanya mencetuskan polemik politik, agama dan kaum, manakala ada yang meminta pihak berkuasa menyiasat rancangan penganjurannya.

Pemuda Umno turut memberi respon berhubung program itu dengan meminta pemimpin DAP yang terbabit dengan perancangan penganjurannya, memberikan penjelasan memandangkan ia isu amat sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh secara sarkastik turut menyoal sama ada program berkenaan adalah untuk mengajar bahasa Melayu bagi mendapatkan kewarganegaraan.

Susulan kemarahan, kecaman dan bantahan ramai, program berkenaan ditangguhkan, tetapi tiada penjelasan diberikan di sebalik penangguhannya.

Namun, menerusi kenyataan di Facebook, Kah Eng berharap tiada pihak membuat sebarang spekulasi berikutan salah faham yang timbul dari poster program itu.

Menurutnya, taklimat tersebut adalah berkaitan dengan isu mereka yang tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa atau sebab-sebab lain. – 9 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related