KUALA LUMPUR – Prosedur pembedahan ke atas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Jantung Negara (IJN) telah selesai dan berjalan lancar.
Menurut Setiausaha Politiknya, Mohd Farid Mohd Nor, beliau kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi bagi pemantauan dalam tempoh 24 jam.
Farid bagaimanapun tidak menjelaskan prosedur pembedahan yang dijalankan itu.
“Pihak keluarga Menteri Besar menjunjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob memaklumkan Wan Rosdy akan dirawat di IJN mulai hari ini.
Zulkifli berkata, tempoh rawatan itu sehingga satu tarikh yang akan ditentukan pihak doktor. – 7 Jun, 2024