SHAH ALAM – Beberapa kedai makan di sekitar Seksyen 7, di sini, masih meneruskan operasi perniagaan mereka meskipun berhadapan dengan gangguan bekalan air namun mengambil langkah perlu bagi memastikan air dalam takungan mencukupi selama tiga hari.
Tinjauan Scoop mendapati pekedai yang menutup tandas kepada pelanggan, ada yang menggunakan kertas pelapik makan dan tidak kurang pula yang meminta pelanggan makan menggunakan sudu serta garpu.
Salah seorang pekerja kedai masakan panas di sini, Hamdan Rusli, 20, berkata bekalan air mula terputus sekitar jam 2 petang semalam dan dia kini masih memikirkan kaedah untuk membasuh peralatan memasak.
Jelasnya, memandangkan mereka memasak masakan panas tomyam, jadi agak sukar untuk menghilangkan kesan minyak pada peralatan memasak.
“Pagi tadi ada air lagi, jadi kami jalankan operasi macam biasa. Buat masa sekarang, kalau air terus tiada lebih dari tiga jam, kami akan tutup kedai sepenuhnya.
“Sekarang kami sedang kemas-kemas secara perlahan-lahan. Tak tahu macam mana nak basuh alatan yang telah digunakan kerana agak banyak sekarang,’’ katanya ketika ditemui.
Seksyen 7 merupakan kawasan tumpuan orang ramai untuk menjamu selera di Shah Alam dan berdekatan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Seorang lagi peniaga kedai makan, Nasri Tajri, 27, berkata restorannya menyimpan air sebanyak dua tong besar untuk kegunaan mereka.
“Kalau air yang kami sediakan habis, kami terpaksa juga tutup kedai. Saya jangkakan bekalan air akan terputus pada pukul 9 pagi, tapi memandangkan air masih ada, saya ambil keputusan untuk buka kedai,” katanya.
Sementara itu, Diana Mohd Azmi, 28, pula berkata, kebiasaannya kawasan berkenaan akan dipenuhi orang ramai pada pukul 6 petang, justeru jika dia menutup kedainya ia merupakan sesuatu yang merugikan.
“Kalau saya tutup kedai, rugilah sebab makanan sudah banyak yang tersedia. Malam-malam memang ramai yang akan datang ke sini terutama pelajar,’’ katanya yang memaklumkan menyediakan bekas polisterin untuk pelanggan.
Pelanggan juga, katanya dihidangkan dengan kertas pembalut makanan bagi menjimatkan air.
Seorang lagi pekerja, Maisal Abdullah, 23, berkata restorannya bakal menjalankan operasi seperti biasa memandangkan mereka sudah menyediakan tujuh tong untuk kegunaan harian selama tiga hari.
“Namun, kami terpaksa beritahu pelanggan awal-awal yang kedai tak ada air, jadi mereka terpaksa makan pakai sudu dan garfu. Sinki dan tandas semua kami dah tutup.
“Kerja-kerja agak sukar untuk dijalankan kerana kami terpaksa menggunakan air yang ditadah untuk membasuh pinggan mangkuk.
“Kena berjimat air walaupun sudah banyak yang ditadah, tak tahu berapa lama air mampu tahan,” katanya.
Khamis lalu, Scoop melaporkan Air Selangor menggesa pengguna di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor supaya menyimpan air secukupnya berikutan gangguan air yang bermula semalam.
“Air Selangor ingin mengingatkan pengguna mengenai pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
“Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat mulai 3 pagi, 6 Jun 2024 (Khamis) setelah kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,’’ katanya – 6 Jun, 2024