Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lif rosak, boleh ‘patah tangan’ nak angkut air, kata penduduk di Pangsapuri Putra Ria | Scoop

Lif rosak, boleh ‘patah tangan’ nak angkut air, kata penduduk di Pangsapuri Putra Ria

Lebih membimbangkan ialah penduduk yang menetap di tingkat atas apartmen setinggi 22 tingkat itu

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Masalah kerosakan lif di Pangsapuri Putra Ria di Bangsar menambahkan keperitan penduduk di situ kerana setiap kali berlaku gangguan bekalan air, mereka terpaksa membawa air ke unit rumah dengan menggunakan tangga.

Lebih membimbangkan ialah penduduk yang menetap di tingkat atas pangsapuri setinggi 22 tingkat itu. Setiap tingkat mempunyai 10 unit rumah.

04062024-Tinjauan-penduduk-Pangsapuri-Putra-Ria-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD003
Morazaman Zakaria berkata, masalah utama di sini adalah hanya satu lif yang berfungsi dengan baik memaksa penduduk mengangkut air menaiki tangga. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

Salah seorang penduduk di Blok 94 yang ditemui Scoop, Morazaman Zakaria, 48, berkata, masalah lif yang rosak sudah dialami sejak sekian lama dan kini hanya satu daripada tiga lif yang beroperasi.

“Masalah utama di sini hanya satu lif yang berfungsi, kalau ada pun lori air yang datang kami terpaksa naik tangga untuk angkut ke rumah.

“Tiada apa yang boleh saya buat, rumah saya di tingkat lapan, beberapa kali juga saya perlu berhenti sebelum sampai ke rumah,’’ katanya.

Air Selangor baru-baru ini mengingatkan pengguna di tujuh wilayah di Lembah Klang supaya bersedia menghadapi gangguan bekalan air disebabkan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun ini.

04062024-Tinjauan-penduduk-Pangsapuri-Putra-Ria-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD002
Bagi Abdul Rahman Samah pula, ketiadaan air dalam tempoh yang lama serta lif yang rosak menyukarkan lagi rutin harian penduduk. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

Waktu pemulihan penuh bagi kawasan terlibat dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun 2024 (Jumaat).

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Samah, 50, berkata, ketiadaan air dalam tempoh yang lama akan menyukarkan aktiviti hariannya apatah lagi dengan keadaan lif yang selalu rosak.

Jika boleh, katanya, mungkin Air Selangor tidak tutup air sepenuhnya dan memberi masa dua atau tiga jam lagi untuk penduduk di situ menadah air.

“Minta supaya mereka tak tutup sepenuhnya air, sekurang-kurangnya bagi masa dalam satu hari selama dua ke tiga jam supaya kami masih boleh tadah air untuk hari seterusnya.

“Kalau lama-lama akan sukarkan kami untuk mandi dan buang air, apatah lagi untuk mengambil wuduk.

“Kami duduk di rumah flat, kalau air yang kami angkut tertumpah ke dalam lift, bertambah rosak fasiliti di sini sedang lif baru sahaja dibaiki,’’ katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak mampu untuk menadah air dengan kuantiti yang banyak berikutan rumahnya yang agak sempit.

“Persiapan pula, saya tak mampu untuk bersedia banyak-banyak, hanya mampu simpan untuk air minuman. Rumah saya sempit, mana saya nak simpan air untuk mandi, setakat dua baldi sahaja.

“Saya sudah tidak bekerja, takkan saya kena keluarkan duit untuk beli air di luar. Berapa banyak kos yang akan saya tanggung,” katanya.

Khairul Abd Razak, 38 seorang pekerja swasta yang menetap di tingkat 13, blok yang sama memberitahu, ramai penduduk di situ yang masih tidak mengetahui gangguan air berlaku di kawasan tersebut.

04062024-Tinjauan-penduduk-Pangsapuri-Putra-Ria-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD004
Khairul Abd Razak yang menetap di tingkat 13 memberitahu, ramai penduduk masih tidak mengetahui gangguan air akan berlaku di kawasan tersebut. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

Ini kerana, pihak pengurusan akan berhubung terus dengan pemilik rumah jadi ada penyewa yang tidak mengetahui mengenainya.

Khairul, bagaimanapun berkata, sebagai penduduk tetap di pangsapuri itu, dia sudah lali dengan masalah air, jadi persediaan untuk menghadapi gangguan bekalan air itu sudah biasa.

“Sebab sudah banyak kali terjadi, kami dah biasa, dalam rumah kami sudah sediakan tangki, manakala untuk masakan pula kami sediakan enam botol besar air, harapnya cukup untuk tiga hari.

“Saya risau kalau bekalan terputus hingga ke hari minggu kerana ramai penduduk berada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Noor Azwah, 58, kesal dengan masalah bekalan air yang sering berlanjutan di kawasan itu dan lebih menyedihkan kerana ramai warga emas yang menetap di pangsapuri tersebut.

04062024-Tinjauan-penduduk-Pangsapuri-Putra-Ria-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD001-1
Noor Azwah sudah biasa dengan kekerapan gangguan bekalan air di situ namun kecewa dengan maklum balas pihak berwajib memandangkan ramai warga emas yang menetap di pangsapuri tersebut. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

“Sini dah selalu sangat bekalan air tak ada, kalau kita mengadu mereka akan cakap kami tidak bayar bil. Kalau betul pun ada orang tak bayar, kenapa kami pun yang bayar ni terpaksa tanggung sekali.

“Saya dah tadah air tiga tong untuk bersedia tiga hari air. Kalau habis terpaksa beli air sendiri dari luar,” katanya. – 5 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related