KUALA LUMPUR – Kunjungan sekumpulan 16 pelajar sebuah universiti ke Campsite Agro Farm Aminah Rahmat di Labis, Segamat, Johor untuk menyiapkan tugasan kuliah mengenai lokasi berkenaan, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di situ dalam kejadian hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis menerima maklumat mengenai insiden lemas membabitkan pelajar lelaki itu pada jam 11.12 pagi ini, sebelum pihak penyelamat bergegas ke lokasi berkenaan.
Katanya, pada kira-kira jam 11.30 pagi, Polis Daerah Segamat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Labis tiba di situ.
“Siasatan mendapati mangsa adalah pelajar universiti awam (UA) di Segamat dan tiba di campsite (tapak perkemahan) terbabit bersama 16 rakan sekuliah pada jam 6.00 petang semalam, bagi menyiapkan tugasan Pemasaran Digital kawasan rekreasi dengan mempromosikan lokasi kejadian.
“Mangsa yang sepatutnya keluar dari lokasi kejadian pada jam 9.00 pagi ini, bertindak mandi di sebuah kolam dijadikan kolam ternakan ikan oleh pemilik tapak perkemahan bersama empat lagi rakan pada jam 10.30 pagi.
“Mangsa disedari lemas dan tenggelam oleh rakan-rakannya pada jam 11 pagi, namun dijumpai 15 minit kemudian,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, pasukan penyelamat cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.40 pagi.
Pengesahan itu, katanya, dibuat Penolong Pengawai Perubatan Klinik Kesihatan Labis yang turut ke lokasi.
Ahmad Zamry berkata, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat dan polis meneruskan siasatan kejadian lemas itu dengan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut (SDR).
“Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan kurangkan aktiviti air, terutama di tempat bukan kebiasaan bagi mengelak sebarang kejadian luar jangka.
“Sebarang maklumat boleh dikemukakan kepada Pusat Kawalan Daerah di talian 07-9324222,” katanya. – 3 Jun, 2024